Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

LANGSUNG: Himpunan Tangkap Azam Baki berakhir dengan nyanyian Negaraku

LANGSUNG | Sebahagian besar jalan-jalan di Kuala Lumpur telah disekat pergerakan lalu lintas.

Ini ketika pihak berkuasa cuba mengawal bantahan yang dirancang menuntut tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Penganjur bantahan berkumpul di stesen LRT Bangsar pada pukul 11 pagi hari ini.

Malaysiakini membawakan liputan langsung:


Himpunan berakhir dengan nyanyian Negaraku

12.41 tengah hari - Peserta bersurai setelah mengakhiri himpunan dengan nyanyian lagu kebangsaan, Negaraku.

Sebelum itu, polis beberapa kali mengingatkan mereka berkenaan waktu bersurai yang telah dipersetujui.

Setakat ini, tiada insiden yang tidak diingini didapati berlaku sepanjang protes berlangsung.


'Azam' muncul di himpunan

12.35 tengah hari - stesen LRT Bangsar - Peserta berhenti sekejap apabila seorang lelaki yang berpakaian seperti seragam SPRM muncul, dan disorak oleh orang ramai.

Lelaki itu kemudian secara simbolik "ditahan" oleh peserta. Pihak berkuasa pula terus memantau apa yang berlaku.

Ketua marshal juga beberapa kali mengingatkan peserta yang mereka telah melebihi waktu bersurai yang dipersetujui, iaitu pukul 12.15 tengah hari.


Perarakan bersambung

12.20 tengah hari - Diiringi ketukan dram, peserta bangkit dan mengikut arahan untuk berpatah balik ke stesen LRT Bangsar.

"Jika anda nak selfie, tolong jangan halang pergerakan," kata seorang marshal yang bertanggungjawab menjaga penjarakan fizikal peserta.

Dia juga mengingatkan peserta bahawa polis telah menetapkan waktu bersurai pada jam 12.15 tengah hari.

Ketika duduk bantah, pemimpin sayap pemuda parti politik menyampaikan ucapan kepada peserta.

Mereka antara lain mengulang desakan agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Azam Baki.


'Duduk dan bantah'

12.05 tengah hari - Jalan Travers - Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) membuat sekatan di hujung Jalan Travers bagi menghalang peserta daripada terus menuju ke arah Masjid Negara.

Kira-kira 200 peserta pada masa ini berada dekat persimpangan menuju Brickfields. Penganjur setuju untuk tidak meneruskan perarakan.

Peserta sebaliknya diminta untuk duduk sebagai tanda protes selama 15 minit.

Penganjur merancang untuk berpatah balik ke Jalan Bangsar selepas sesi "duduk bantah" selama 15 minit.


Kebanyakannya orang muda

11.55 pagi - Jalan Travers - Himpunan ini kebanyakannya disertai oleh golongan muda tetapi terdapat juga warga emas, antaranya adalah Bathmanathan, 65 tahun.

"Memang bagus lihat orang muda keluar dan berhimpun hari ini. Saya dan kawan yang datang hari ini pernah mengeluh kebanyakan golongan muda di negara ini tidak ambil tahu tentang politik.

"Cukup memberangsangkan dan (saya dan kawan) boleh naikkan purata umur peserta," katanya.

Dia juga membangitkan apa yang didakwanya sebagai rasuah "terang-terangan" oleh kerajaan.

"Mereka (kerajaan) secara dasarnya beritahu rakyat yang mereka boleh buat apa saja yang mereka mahu.

"Saya fikir semua orang perlu nyatakan pendirian dan saya di sini untuk buat apa yang termampu," katanya lagi.


11.45 pagi - Jalan Travers - Sekitar 150 penunjuk perasaan berarak dari Jalan Bangsar ke Jalan Travers, berjarak kira-kira 1km.

Antara yang ikut serta bantahan seorang wanita berusia 31 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai Moori.

Katanya, keputusannya menyertai protes itu bertujuan untuk menuntut keadilan.

“Jika ada keadilan, kami tidak akan berada di sini, dan ia adalah masa yang sangat salah kerana keadaan wabak. Jika ada pilihan saya pasti akan memilih untuk tidak keluar.

"Saya di sini hanya kerana saya sedih dan bimbang dengan hala tuju negara kita. Ini (rasuah) perlu dihentikan," katanya.


11.30 pagi: Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor bertemu dengan wakil penganjur perhimpunan Tarmizi Anuar.

Amihizam meminta perarakan oleh beberapa ratus penunjuk perasaan, sebahagian besarnya berbaju hitam, untuk berakhir di Brickfields.

Tarmizi bagaimanapun memohon agar mereka dibenarkan berpindah ke Masjid Negara.


11.00 pagi - Kira-kira 100 penunjuk perasaan berpakaian hitam berkumpul di bawah LRT Bangsar di tepi Menara UOA.

Sekumpulan pegawai polis berpakaian jaket polis kuning terang menghampiri penyelaras protes.

Mereka meminta maklumat peribadi penyelaras tetapi tidak menghalang perhimpunan berlangsung.

Mereka pergi selepas merekod maklumat mereka.

Pada masa lalu, polis menahan pemimpin protes hanya selepas protes berakhir untuk mengelakkan bantahan memuncak.

Salah seorang aktivis protes Mandeep Singh mula mengetuai penunjuk perasaan melaungkan slogan: "Tangkap Tangkap Azam Baki."

Penunjuk perasaan mula memenuhi jalan utama di Jalan Bangsar.


10.50 pagi: Pihak polis membenarkan para pekerja masuk ke premis sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Pun begitu, mereka hanya dibenarkan berjalan kaki atau menaiki motosikal selepas Jalan Tuanku Abdul Rahman masih ditutup untuk kenderaan.

Terdahulu, polis menghalang orang ramai termasuk pekerja yang berkerja di Sogo, pusat beli belah Kompleks Pertama memasuki ke premis masing-masing.

Lebih 100 orang menunggu di depan Maju Junction sejak 9 pagi kini dibenarkan masuk.


10.40 pagi - Perniagaan dalam radius 1km dari Dataran Merdeka ditutup.

Menurut Astro Awani, mereka diarahkan tutup atas perintah mahkamah.

Semalam, polis memperoleh perintah mahkamah tujuh hari yang melarang bantahan di Dataran Merdeka, pusat beli-belah Sogo dan Masjid Jamek di Kuala Lumpur.

Ini selepas pihak berkuasa menjangkakan protes #TangkapAzamBaki akan berlangsung.

10.30 pagi: LRT Bangsar - Beberapa wakil penganjur perhimpunan 'AJK Tangkap Azam Baki' kelihatan di lokasi.

Sekatan jalan telah disediakan untuk mengalihkan trafik daripada masuk ke stesen LRT Bangsar tetapi tren tetap beroperasi.

Setakat ini, kehadiran polis tidak ramai dengan sebahagian besar kakitangan berpakaian biasa memantau lokasi.

Orang lain yang hadir setakat ini termasuk pemerhati daripada Majlis Peguam dan gabungan NGO Freedom of Expression Cluster.

Pegawai program Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Vinodh Pillai, mewakili Kluster FOE, berkata: "Kami berharap tiada kejadian tidak diingini hari ini."

"Kami berharap pihak berkuasa akan melindungi dan mengekalkan kebebasan bersuara kami dalam perhimpunan ini. Kami berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa yang berkenaan," katanya.