Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Adakah dapatan SC dirujuk kepada Peguam Negara, tanya Ramkarpal

Suruhanjaya Sekuriti (SC) digesa menjelaskan sama ada ia akan menyerahkan kertas siasatan mereka - mengenai isu pemilikan saham Azam Baki - kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, berkata sudah menjadi amalan lazim untuk sesebuah agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan untuk merujuk dapatan mereka kepada jabatan terbabit.

Dia yang juga seorang peguam menjelaskan, langkah itu diambil walaupun dapatan awal tersebut mendapati tiada sebarang kesalahan dilakukan.

"Malah, dalam kes Teoh Beng Hock, AGC telah merujuk semula kertas siasatan kepada SPRM beberapa kali walaupun mendapati tiada bukti yang mencukupi daripada siasatan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramkarpal berkata demikian sebagai mengulas artikel FMT yang memetik sumber tanpa nama dari SC, yang mengatakan bahawa SC tidak perlu menyerahkan kertas siasatannya kepada AGC.

SC sebelum ini menjalankan siasatan berhubung akaun dagangan saham milik ke tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

Agensi itu kemudian menyatakan mereka tidak dapat secara muktamad memutuskan Azam melanggar Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).

AGC lebih wajar buat keputusan

SC juga mengesahkan Azam memiliki kawalan penuh ke atas akaun berkenaan dan tiada bukti jelas menunjukkan berlaku dagangan secara proksi.

Pengesahan SC itu sekali gus bercanggah dengan penjelasan Azam yang mendakwa saham yang dipertikaikan itu adalah milik adiknya, Nasir, yang diperolehi menggunakan akaun ketua pesuruhjaya SPRM terbabit.

Azam menarik perhatian ramai ekoran pemilikan 1.93 juta saham Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad turun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Beliau juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Ia kemudian menimbulkan persoalan sama ada pemilikan tersebut sepadan dengan pendapatannya sebagai penjawat awam atau sebaliknya dan kebimbangan berlaku konflik kepentingan.

Kata Ramkarpal, dalam kes Azam, penemuan SC itu dilihat bercanggah dengan kenyataan yang dibuatnya sebelum ini.

“Itu saja sudah cukup untuk menimbulkan rasa sangsi sama ada Azam melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(4) Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 atau tidak.

“Dalam keadaan sedemikian, adalah wajar untuk SC merujuk dapatan mereka kepada AGC untuk pertimbangan kerana AGC lebih wajar menentukan jika terdapat kesalahan dilakukan," katanya.