Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

‘Khairuddin masih setiausaha Majlis Syura’

Khairuddin Aman Razali, yang dipecat sebagai anggota jawatankuasa pusat PAS, kekal sebagai setiausaha Majlis Syura, kata pengerusi lajnah dakwahnya Nasrudin Hassan.

Nasrudin berkata, dakwah tidak semestinya memerlukan jawatan kerana ia boleh dilaksanakan dalam pelbagai keadaan, lapor Berita Harian.

"Khairuddin masih boleh memperjuangkan usaha menyebar syariat Islam meskipun tidak memegang jawatan dalam parti.

"Sebagai setiausaha Majlis Syura, banyak yang boleh dilakukan sebagai sumbangan ke arah memperkukuhkan agama dan perjuangan Islam," dia dipetik sebagai berkata kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Putrajaya, hari ini.

Nasrudin Hassan

Nasrudin yang juga yang dipertua Yadim berkata, pimpinan PAS mempunyai mesej jelas berhubung pengguguran Khairuddin.

Khairuddin dipecat sebagai anggota Jawatankuasa pusat PAS minggu lalu, kira-kira dua bulan selepas dilantik.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini berkata pengguguran Khairuddin berkaitan masalah disiplin, tetapi tidak memperincikannya.

PAS setakat ini tidak memberikan penjelasan berhubung pemecatan itu tetapi ia dilihat susulan kecenderungan Khairuddin ke arah kerjasama dengan Umno berbanding Bersatu.