Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

#TangkapAzamBaki: 58 sekatan jalan raya di KL esok?

  • Dikemas kini dengan berita penuh.

Penganjur demonstrasi anti-Azam Baki mendakwa polis akan menutup 58 jalan di sekitar Kuala Lumpur esok bagi menghalang orang ramai menyertai perhimpunan itu.

Mereka justeru meminta polis mengesahkan perkara itu.

“Sebentar tadi tular senarai 58 jalan di seluruh Kuala Lumpur yang akan ditutup oleh @PDRMsia pada Sabtu ini melalui Op Aman.

Lockdown (sekatan pergerakan) ini dijangka untuk menghalang perhimpunan #TangkapAzamBaki yang bakal berlangsung pada jam 11 pagi melibatkan skandal berkait Azam Baki, KP SPRM Malaysia.

“Jika benar, lockdown ini lebih dahsyat daripada lockdown mencegah Covid-19 yang dikenakan waktu PKP tahun 2020 dan 2021.

Lockdown sebegini yang bertujuan menyelamatkan seorang yang telah menimbulkan pelbagai persoalan di securing negara adalah tidak wajar,” kata penganjur dalam kenyataan media hari ini.

Semalam aktivis Adam Adli, yang dianggap antara tulang belakang perhimpunan itu, berkata perhimpunan esok diteruskan seperti dirancang.

Dia mengumumkan komitmen itu kepada pemberita sejurus selepas disiasat polis berkaitan poster berkaitan perhimpunan itu.

Azam Baki

Anggota media dalam kumpulan WhatsApp polis Kuala Lumpur telah menghantar permintaan untuk komen mengenai perkara itu tetapi masih belum menerima sebarang maklum balas.

Menurut senarai sekatan jalan raya yang telah tular, banyak jalan utama menuju ke pusat bandar akan ditutup atau dilencongkan.

Ini termasuk jalan utama menuju ke Kuala Lumpur di Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Maharajalela, Jalan Loke Yew, Lebuhraya Sungei Besi, dan Jalan Sultan Abdul Halim, antara lain.

Azam menjadi perhatian selepas timbul dakwaan dia memiliki dua juta unit saham ketika menjadi ketua bahagian siasatan SPRM.

Jumlah itu jauh melebihi daripada yang dibenarkan kepada penjawat awam.

Pengkritik juga mempersoalkan sumber pendapatannya bagi memperoleh saham-saham itu.

Azam sebelum ini dilaporkan berkata dia telah mengikuti segala protokol dan melakukan apa yang sepatutnya dan justeru meminta semua pihak bersabar kerana “kebenaran akan muncul juga akhirnya”.