Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kok: Percepat projek pemuliharaan hijau untuk lawan dakwaan palsu terhadap sawit

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi digesa mempercepatkan projek pemuliharaan hijau di bawah Majlis Minyak Sawit Malaysia sebagai strategi untuk menentang dakwaan palsu terhadap minyak sawit Malaysia.

Bekas menterinya, Teresa Kok berkata demikian selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin mengatakan buku-buku teks sekolah di negara Arab menceritakan hal negatif terhadap minyak sawit termasuk dakwaan industri itu mengancam nyawa orang utan.

“Saya ingin menyeru menteri, Zuraida Kamaruddin untuk menyemak dan meneliti projek-projek pemuliharaan hijau di bawah Malaysian Palm Oil Green Conservation Fund (MPOGCF) dan melaksanakan projek-projek ini secara sistematik dengan strategi komunikasi.

"Supaya Malaysia boleh meuar-uakan projek-projek yang berimpak tinggi tertentu yang disumbang oleh industri sawit Malaysia untuk melawan dakwaan palsu terhadap minyak sawit di banyak tempat di dunia ini,” kata Kok dalam satu kenyataan semalam.

Dalam klip video yang tersebar di media sosial baru-baru ini, Zuraida dkilihat berucap mempertahankan minyak sawit Malaysia serta menangkis dakwaan bahawa industri itu mengancam populasi orang utan di negara ini.

Dalam ucapan itu Zuraida berkata, kemungkinan untuk haiwan berkenaan membunuh manusia adalah lebih besar berbanding sebaliknya.

Ucapan itu bagaimanapun mengundang perhatian warga maya dan menjadi ejekan di media sosial.

Malah rakaman ucapan Zuraida itu turut dikongsikan dan disindir oleh bekas ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Pejabat Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu dalam satu kenyataan berkata kandungan ucapan Zuraida itu telah disunting.

Pejabat terbabit juga menyatakan ada pihak tertentu "memutar belit" ucapan tersebut yang sepatutnya difahami sebagai gurauan semata-mata.

Mengulas lanjut, Kok berkata, pendedahan Zuraida itu tidak mengejutkan kerana sentimen anti-minyak sawit sebenarnya telah menular dalam masyarakat Arab.

Kata Kok, di kebanyakan tempat di Timur Tengah, minyak sawit tidak digemari oleh suri rumahtangga dan kebanyakan mereka lebih suka menggunakan minyak jagung dan minyak zaitun.

Tambahnya, mereka menganggap minyak sawit mengandungi lemak yang tidak sihat.

“Saya harap pengalaman Zuraida di negara Arab akan membuatkan dia memahami dan menerima pakai dasar saya yang telah digubal sebelum ini untuk menghentikan dan menyekat pengembangan ladang kelapa sawit di Malaysia," katanya.