Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Anwar desak kerajaan dedah semua lesen pembalakan dilulus dalam 5 tahun

Ketua pembangkang Anwar Ibrahim menggesa kementerian berkaitan mendedahkan semua lesen pembalakan yang diluluskan kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun lepas.

Menurutnya, ini kerana kejadian banjir di negeri-negeri seperti Pahang bukan sahaja disebabkan hujan lebat tetapi ia juga berkaitan aktiviti pembalakan yang berlebihan.

“Parlimen harus diberi penerangan oleh menteri berkaitan tentang semua lesen pembalakan yang diluluskan kerajaan negeri kerana maklumat ini di bawah pemantauan kementerian.

“Sama ada kelulusan diberikan mengikut peraturan dan semua itu, itu persoalan lain. Tetapi kita mahu tahu jumlah lesen yang diluluskan dalam tempoh lima tahun lepas, contohnya, dan ini termasuk untuk Pahang,” kata Anwar semasa mesyuarat khas parlimen hari ini bagi membincangkan bencana banjir yang berlaku Disember lalu.

Walaupun tidak dinafikan wujudnya aktiviti pembalakan haram, kata Anwar, perlu ada dasar yang lebih tegas dalam kalangan kerajaan negeri mengenai kelulusan lesen pembalakan.

“Menteri boleh jawab ini urusan kerajaan negeri tetapi kerajaan negeri akan kata kita perlukan pembiayaan. Pergi jahanam rumah orang, biar mati, rumah mereka hanyut, demi ekonomi.

"Mesti ada penyelesaian dan dasar pemantauan yang ketat," katanya.

Tambahnya, kerajaan juga mesti menjelaskan mengapa begitu banyak lesen pembalakan diluluskan.

Anwar juga mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan moratorium menghentikan semua aktiviti pembalakan termasuk yang telah diluluskan sehingga kesannya dapat dikaji.

Ahli parlimen Port Dickson itu menggesa agar kerajaan negeri juga berhenti mengeluarkan lesen pembalakan baru kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang mereka.

Katanya, kerajaan mesti mengambil pendirian yang lebih tegas dan mengambil tindakan terhadap syarikat pembalakan, yang menurutnya memperoleh sekitar RM18 bilion setahun daripada eksport kayu.

“Apabila ada mangsa yang menanggung kerugian akibat banjir, syarikat pembalakan ini harus dipaksa membayar pampasan, bukan kerajaan sahaja.

"Jangan biarkan mereka mengatakan bahawa mereka telah membayar cukai mereka. Mereka tidak membayar cukai untuk memusnahkan rumah orang atau menyebabkan banjir.

“Jika kita tidak melakukan sesuatu, ia akan membuatkan kita seolah-olah bersikap lunak terhadap golongan atasan. Golongan yang berada ini tidak akan terbeban walaupun merekalah yang memusnahkan rumah orang miskin.

"Saya mahu melihat keberanian pemimpin Melayu, adakah mereka berani dan sanggup mengambil tindakan tegas untuk membela kebajikan golongan berpendapatan rendah," kata Anwar.