Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

RUU antilompat parti dibentang pada sesi parlimen bulan depan - Menteri

Kerajaan bercadang membentangkan undang-undang antilompat parti pada sesi parlimen bulan depan, kata menteri undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini.

Wan Junaidi juga mengumumkan bahawa jawatankuasa teknikal dwipartisan telah ditubuhkan untuk merangka rang undang-undang itu.

Katanya, keputusan ini dibuat dalam mesyuarat semalam antara ahli Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik.

Terdiri daripada wakil dari parti kerajaan dan Pakatan Harapan (PH), jawatankuasa itu ditubuhkan selepas kerajaan dan parti pembangkang menandatangani memorandum persefahaman (MOU) pada September tahun lalu.

“Mesyuarat memutuskan bahawa rang undang-undang antilompat parti akan dimuktamadkan dan dibentangkan pada sesi pertama penggal kelima Parlimen ke-14 pada 2022, yang akan bermula pada 28 Feb.

“Menteri juga memaklumkan (mesyuarat) bahawa ini adalah selaras dengan saranan perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob) supaya rang undang-undang itu disegerakan.

“Menteri selanjutnya memaklumkan (mesyuarat) bahawa jawatankuasa teknikal dwipartisan akan ditubuhkan... dan ahlinya akan terdiri daripada empat anggota kerajaan dan empat daripada PH,” kata Wan Junaidi dalam satu kenyataan petang ini .

Menurut laman web Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan datang adalah selama 16 hari, dari 28 Feb hingga 24 Mac.

Malaysiakini mendapat maklumat bahawa lapan ahli jawatankuasa teknikal bagi rang undang-undang antilompat parti ini masih belum dilantik.

"Jawatankuasa teknikal ini akan bermesyuarat minggu depan mengenai butiran dasar dan rangka kerja undang-undang yang dicadangkan," tambah menteri itu.

Tindakan ahli politik lompat parti sekian lama terjadi dalam landskap politik negara, termasuk pada Feb 2020 yang dikenali dengan nama 'Langkah Sherator' yang membawa kepada kejatuhan kerajaan PH.

Tindakan sama juga menjadi punca pilihan raya negeri Sabah September 2020 dan pilihan raya negeri Melaka pada November tahun lepas.