Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sanggup disuntik air suling, air garam demi sijil vaksin

Polis Terengganu mendedahkan terdapat individu yang sanggup disuntik dengan air suling asalkan mereka dapat memperoleh sijil vaksinasi Covid-19 daripada seorang doktor klinik swasta yang didakwa melakukan kegiatan itu di Marang.

Ketua Polis Terengganu Rohaimi Md Isa berkata setakat ini pihaknya sudah mengambil keterangan daripada 23 individu dengan pelbagai latar belakang.

Katanya kesemua mereka memiliki sijil vaksinasi di dalam aplikasi MySejahtera, namun mengakui tidak mendapatkan suntikan vaksin sebenar.

“Ada antara mereka mengaku mengambil suntikan air suling atau air garam dengan alasan kononnya mereka tetap mendapatkan suntikan cuma tidak mengandungi vaksin Covid-19,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

Rohaimi berkata demikian untuk mengulas perkembangan siasatan kes membabitkan seorang doktor yang didakwa mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar di klinik swasta di Marang.

Katanya setakat ini siasatan polis mendapati 1,223 nama yang berurusan dengan klinik berkenaan telah dihantar kepada pihak vendor untuk dikeluarkan sijil vaksinasi melalui MySejahtera.

"Pihak klinik menghantar nama mereka kepada vendor untuk dimasukkan dalam MySejahtera, tapi polis percaya tak semua penama ini telah mendapatkan suntikan sebenar,” katanya.

Rohaimi berkata polis juga dimaklumkan sijil vaksinasi yang dikeluarkan klinik doktor berkenaan sudah disekat oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Tiada lagi kesahan pada sijil yang dikeluarkan oleh klinik berkenaan dan polis juga mendapat kerjasama daripada pihak majikan yang mengesyaki pekerja mereka terlibat dengan kes klinik itu.

“Ada pelbagai kategori individu dipercayai terlibat termasuk kakitangan awam, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat besar dan ada golongan yang tidak bekerja,” katanya.

Pada 8 Jan lepas seorang doktor lelaki berusia 51 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pengeluaran sijil vaksinasi Covid-19 tanpa suntikan sebenar dengan mengenakan bayaran antara RM400 hingga RM600.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan suspek dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu tindakan selanjutnya oleh pihak pendakwa raya.

- Bernama