Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Isu Azam jadi ujian terhadap MOU PH-kerajaan, kata Kit Siang

Cara kerajaan menangani kontroversi pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki akan menjadi 'ujian litmus' terhadap memorandum persefahaman (MOU) antara Pakatan Harapan (PH) dengan kerajaan, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Saya telah ditanya sama ada kemelut Azam Baki akan membawa kepada berakhirnya memorandum persefahaman (MOU) keyakinan-pembekalan-reformasi (CSR) yang ditandatangani antara Perdana Menteri Ismail Sabri dan empat pemimpin Pakatan Harapan pada 13 Sept 2021.

"Sama ada MOU CSR perlu ditamatkan sebelum Julai 2022 harus berdasarkan sama ada syarat MoU CSR dipatuhi dan sama ada kerajaan Ismail Sabri telah bertindak melampaui batas sehingga menyukarkan pelaksanaan MoU CSR diteruskan," kata Lim dalam kenyataan.

MOU itu, antara lain, memerlukan penubuhan pelbagai jawatankuasa pilihan Parlimen untuk menambah baik pemantauan terhadap kerajaan.

Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Bagi Agensi-agensi di Bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum ini berusaha memanggil Azam untuk memberikan penjelasan berhubung dakwaan terhadapnya. 

Bagaimanapun usaha itu terbantut selepas pengerusinya Abdul Latiff Abdul Rahman, yang merupakan Ahli Parlimen Kuala Krai (PAS), menangguhkan pendengaran tersebut ekoran bantahan daripada Azam terhadap agenda mesyuarat tersebut.

"Telah dipersetujui dalam MOU CSR bahawa perlu ada reformasi parlimen seperti penubuhan lebih banyak jawatankuasa pilihan parlimen dan untuk meminda perintah tetap parlimen untuk menjadikan jawatankuasa pilihan parlimen berfungsi dengan lebih bermakna.

"Skandal Azam akan menjadi ujian bagi MOU CSR sama ada jawatankuasa pilihan khas parlimen mengenai agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri boleh berfungsi secara bermakna," katanya.

Berdasarkan MOU itu, Pakatan Harapan bersetuju untuk tidak menghalang agenda utama kerajaan sebagai timbal balik terhadap transformasi dan pembaharuan yang akan dilakukan kerajaan.

“Kandungan MOU CSR adalah dokumen awam dan tiada klausa rahsia

"Sekiranya mana-mana pihak dalam MOU CSR gagal mematuhi syaratnya, maka mana-mana pihak berhak untuk menamatkan MOU tersebut.

"Sebagai contoh, saya faham bahawa kerajaan Ismail Sabri tidak mahu mematuhi salah satu syarat penting dalam MOU CSR, dan jika ya, ini akan mencetuskan keadaan di mana salah satu pihak perlu mempertimbangkan sama ada terdapat sebarang keperluan dan tujuan dalam meneruskan MOU," katanya.

Jejaskan kredibiliti pelbagai agensi

Katanya, kontroversi Azam telah menjejaskan kredibiliti pelbagai agensi dan yang terbaru, Suruhanjaya Sekuriti.

Oleh itu, kata Lim kerajaan tidak seharusnya membiarkan lebih banyak pihak 'menjadi korban'.

"Bagaimana SC boleh melakukan keajaiban dalam masa 24 jam untuk beralih daripada "tidak dapat mewujudkan pelanggaran secara muktamad" kepada "sampai pada keputusan bahawa tiada pelanggaran" adalah sangat pelik.

"Apa yang patut kita bimbangkan ialah skandal ini telah mengorbankan satu lagi mangsa yang sekali lagi memburukkan nama Malaysia di mata dunia," katanya. 

Azam mendapat perhatian berhubung pemilikan sebanyak 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015, bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad menurun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.

Dia juga memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 itu menimbulkan persoalan sama ada ia sepadan dengan pendapatan Azam sebagai penjawat awam dan kebimbangan berlaku konflik kepentingan.

Azam mendakwa saham-saham itu bukan miliknya tetapi dibeli oleh adiknya atas namanya, sebelum dipindahkan ke akaun adiknya itu.