Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Isu Azam Baki dibincang dalam mesyuarat kabinet hari ini

Kabinet hari ini membincangkan secara panjang lebar mengenai isu pemilikan saham oleh pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Malaysiakini kabinet memutuskan agar kenyataan mengenainya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan atau Suruhanjaya Sekuriti (SC).

"Ia (isu Azam) dibincangkan dengan panjang lebar mengenai pro dan kontranya dalam mesyuarat kabinet pagi tadi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Kata Wan Junaidi, kabinet berpendapat disebabkan SC terletak di bawah Kementerian Kewangan, kenyataan lanjut mengenai isu tersebut akan datang daripada salah satu pihak terbabit.

"Dan kita akan mengambil langkah selanjutnya dari situ," tambahnya.

Nama ketua pesuruhjaya SPRM itu menjadi perhatian ramai ekoran pemilikan 1.93 juta saham dalam Gets Global Bhd (sebelum ini dikenali sebagai KBES Berhad) pada 30 April 2015.

Ketika itu saham tersebut bernilai kira-kira RM772,000.

Pegangan sahamnya kemudian menurun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, dengan nilai semasa kira-kira RM340,000.

Dioa juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Bagaimanapun Azam berkata saham tersebut sebenarnya dimiliki adiknya, Nasir, yang menggunakan akaunnya dalam urusan dagangan tersebut.

Untuk rekod hari ini SC memberitahu "tiada bukti konklusif" berlaku perdagangan proksi oleh Azam, sekali gus menunjukkan percanggahan daripada penjelasannya sebelum ini.

Dalam kenyataan petang tadi, SC berkata, ia mendapati Azam mempunyai "kawalan" ke atas akaun dagangannya sendiri. SC juga mendapati Azam menggunakan akaun tersebut untuk berdagang saham. 

Semalam pula SC berkata mereka sudah menyelesaikan siasatan terhadap Azam namun dan "tidak dapat secara muktamad” memutuskan berlaku perlanggaran undang-undang mengikut Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda). 

Ketika ditanya lebih lanjut Wan Junaidi bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai isi perbincangan kabinet tadi. 

[Baca berita asal]