Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dakwaan gangguan seksual: Putra pula gesa hakim syarie direhatkan

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mencadangkan Ketua Hakim Syarie, Mohd Na'im Mokhtar yang terbabit dalam dakwaan gangguan seksual direhatkan sementara waktu bagi meredakan sedikit sebanyak ketegangan yang sedang berlaku.

Naib Presidennya, Dr Aziz Jamaluddin Mhd Tahir berkata, tindakan itu wajar bagi menjaga integriti badan kehakiman agar ia sentiasa dipandang sebagai institusi perundangan yang berwibawa.

Menurut Aziz, cadangan tersebut dibuat berdasarkan dua pertimbangan, iaitu ia selaras dengan Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatetib) 1993 dan bagi memberikan ruang kepada proses siasatan berjalan.

"Oleh kerana dakwaan yang dikaitkan itu sedang dalam siasatan, adalah lebih harmoni sekiranya orang yang dikaitkan itu direhatkan sementara waktu sehinggalah proses siasatan itu selesai.

"Cadangan ini sangat sesuai untuk menjaga imej Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) khususnya dan Islam amnya. Ia juga dapat meredakan tekanan-tekanan yang bakal timbul ekoran daripada keenganan orang yang dikaitkan itu,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kenyataan yang menggunakan nama Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) Ibrahim Deris awal berkata persatuan itu turut menggesa Na'im direhatkan sementara.

Namun kenyataan itu kemudian disangkal oleh timbalannyaMuhamad Yusro Borhan Nordin yang mendakwa ia bukan pendirian persatuan mereka.

Terdahulu, polis dilaporkan memulakan siasatan terhadap seorang hakim kanan selepas seorang wanita membuat laporan mendakwa dia menemui hakim terbabit dalam keadaan berbogel di atas katil di rumahnya pada 2020.

Mohd Na'im yang juga Ketua Pengarah JKSM kemudiannya tampil membuat laporan polis bagi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berkenaan.

Dalam pada itu, Aziz berkata cadangan tersebut tidak bermakna Na'im sudah patut dianggap bersalah.

"Berehat sementara bukan bermakna mengalah kepada tekanan dan bersetuju dengan dakwaan, sebaliknya ia memberikan ruang yang lebih terbuka kepada proses siasatan dan juga kepada seseorang yang dikaitkan melihat kebenarannya.

"Merehatkan sementara Dr Nai’m juga tidak bermakna jawatannya sebagai ketua pengarah JKSM hilang, sebaliknya ia akan kekal apabila kebenaran muncul dan imej JKSM akan dapat dipulihkan," katanya lagi.