Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pemuda Amanah sedia gerakkan 1,000 ahli sertai demo #TangkapAzamBaki

Pemuda Amanah akan menggerakkan lebih 1,000 ahlinya untuk menyertai demonstrasi pada Sabtu ini bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

Mereka juga akan menyediakan sekitar 10 hingga 20 peguam pada hari demonstrasi sebagai pemerhati.

“Pemuda Amanah dan peguamnya menyokong penuh demonstrasi aman #TangkapAzamBaki yang akan diadakan Sabtu ini (22 Jan 2022) di Sogo, anjuran sekumpulan belia.

“Kami bukan sahaja menyatakan komitmen untuk menggerakkan seramai mungkin anggota Pemuda Amanah ke Sogo tetapi kami juga akan komited untuk menyediakan sekurang-kurangnya 10 peguam pada hari tersebut.

“Peguam-peguam ini akan menjadi pemerhati dan untuk memastikan tiada sebarang tindakan yang melanggar undang-undang serta demonstrasi aman ini dapat dijalankan dengan teratur, aman dan mengikut SOP yang ditetapkan,” peguam Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda pada sidang media di ibu pejabat Amanah di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Naib Ketua Pemuda Amanah Zubair Rahim, pengarah mobilisasinya Abbas Azmi, serta Pengarah Biro Ekonomi Ammar Atan.

Katanya, Amanah juga mengambil maklum bahawa tindakan intimidasi telah pun dimulakan terhadap kumpulan penganjur #TangkapAzamBaki apabila aktivis Adam Adli telah pun dipanggil untuk siasatan oleh pihak Polis pada hari Khamis ini.

Justeru, katanya peguam Pemuda Amanah menawarkan khidmat guaman secara probono kepada mana-mana anak muda tidak kira penganjur mahupun mereka yang hanya menyebarkan apa-apa poster berkenaan #TangkapAzamBaki.

Mereka juga mendesak supaya tindakan intimidasi seperti ini dihentikan segera.

Semalam polis berkata pihaknya belum menerima sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, pada Sabtu ini.

Polis juga memberi amaran bahawa mengadakan perhimpunan akan melanggar SOP semasa untuk membendung wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Fadhli Umar menegaskan hari ini bahawa hak kebebasan untuk berhimpun termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, dia menggesa golongan belia supaya tidak gentar dan hadir beramai-ramai pada perhimpunan Sabtu ini.

Beberapa hari lalu, sebuah poster yang menyeru rakyat untuk menyertai protes itu mula tular di media sosial.

Identiti penganjurnya masih tidak jelas, tetapi poster itu telah dikongsi oleh ramai termasuk beberapa ahli politik.

Walaupun lokasi demonstrasi pada mulanya dirahsiakan, ia kemudiannya didedahkan bahawa perhimpunan akan diadakan di Sogo di Kuala Lumpur.

Azam mencuri tumpuan baru-baru ini susulan dakwaan mengenai mengenai pemilikan saham dalam dua syarikat pada 2015 yang melebihi had yang dibenarkan.

Menurut laporan tahunan 2015 Excel Force Bhd, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu pada 21 Mac 2016. Ketika itu, dia adalah ketua bahagian siasatan SPRM.

Bagaimanapun, pada sidang media pada 5 Januari lalu, Azam berkata dia tidak melakukan sebarang kesalahan kerana saham itu dibeli oleh adiknya yang hanya menggunakan namanya.