Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Perpecahan PAS sedang berlaku

ULASAN | Kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mengenai tindakan yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali sebenarnya membayangkan perpecahan dalaman parti tersebut ketika ini.

Semasa menjadi menteri, Khairuddin pernah melanggar prosedur operasi standard (SOP) apabila dia gagal melakukan kuarantin selepas pulang dari Istanbul, Turki.

Ketika itu tiada sepatah pun komen PAS dikeluarkan. Yang ada ialah kenyataan membela Khairuddin walaupun insiden tersebut menjadi tumpuan ramai termasuk di luar negara. Ketika itu imej PAS sekali lagi tercalar.

Kalau benar disiplin menjadi pertimbangan utama PAS, kenapa isu rasuah yang berleluasa dan masalah yang sedang melanda Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekarang tidak di sentuh PAS? Adakah kepentigan tertentu yang sedang perlu dijaga mereka?

Bukankah sebagai kerajaan, PAS perlu mengambil berat isu disipilin dalam membendung rasuah juga?

Di Terengganu ini misalnnya. begitu banyak poster dinaikkan untuk mengingatkan orang ramai agar menjauhi zina. Ketika seruan itu adalah betul, timbul juga pertanyaan: kenapa tidak kelihatan poster untuk mengajak orang ramai menjauhi rasuah.

Rasuah juga adalah satu masalah yang amat besar sedang dihadapi sekarang.

Walak hanya dalam PAS

PAS bercakap tentang disiplin semasa menjustifikasikan pengguguran Khairuddin namun ia dilakukan secara terpilih. Orang ramai lebih melihat apa yang berlaku itu berpunca daripada perbezaan dalaman PAS kerana Khairuddin menyatakan sesuatu yang berbeza daripada kemahuan pemimpin utama parti.

Ini jelas menunjukkan budaya walak kian menebal dan dikuatkuasakan dalam PAS.

Pandangan dan pendapat yang berbeza daripada pemimpin tidak digalakkan, malah mungkin dikawal dengan ketat agar tidak dikeluarkan.

Ia bukanlah sesuatu yang aneh. Suatu ketika dulu apabila ada sesetengah ahli PAS mengeluarkan pandangan sedikit berbeza pun, mereka terus dilabel sebagai liberal, menyokong LGBT, Anwarinas dan sebagainya.

Kemudian berlaku gerakan besar-besaran dan sistematik untuk menyingkirkan kumpulan yang tidak bersetuju dengan kemahuan pemimpin tertinggi parti. Ia berlaku semasa muktamar. Kemudian tertubuhlah Amanah.

Kerana itu istilah walak sangat sinonim dengan PAS dan tidak dalam parti-parti lain.

Sedang wujud hari ini ada berberapa puak dalam PAS berbeza pendapat dan parti tu sedang menghadapi bibit perpecahan dalaman yang sukar untuk dibaiki. Hal itu kerana dengan konsep walak, perbezaan pendapat dan kopromi tidak diamalkan secara sehat.

Budaya 'Tuan Besar'

Saya sendiri pernah mengalami kejutan semasa masih menjadi ahli PAS dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Ia berlaku apabila saya menulis rencana tentang jasa dan ketokohan Almarhum Nik Abdul Aziz Nik Mat seminggu selepas Tok Guru meninggal.

Saya kemudian dipanggil oleh pemimpin PAS Kuala Terengganu. Di rumah rumah seorang ahli jawatankuasa PAS kawasan, saya disoal kenapa menulis artikel tentang jasa dan pendekatan Almarhum Nik Aziz yang semua orang tahu begitu lembut dan bijaksana penuh berhemah.

Kejadian itu berlaku selepas solat Jumaat.

Rupa-rupanya pendekatan bekas mursyidul am PAS itu sudah tidak lagi menjadi pendekatan atau budaya PAS, sebaliknya hanya cara pimpinan sekarang sahaja boleh dipakai.

Inilah antara bukti bagaimana perbezaan pendapat dan pendekatan sebenarnya tidak diraikan dalam PAS hari ini.

Sebenarnya bukan pimpinan atasan seperti Khairuddin saja yang menjadi mangsa, bahkan ahli akar umbi juga terpaksa menelan apa saja budaya tidak sihat PAS hari ini. Dan mereka tidak berani bersuara.

Ramai ahli dan penyokong PAS hari ini amat kecewa dengan perubahan besar sikap serta budaya 'Tuan Besar' pimpinan atasan PAS namun mereka terpaksa menelan kepahitan itu diam-diam.

Perpecahan dalaman PAS memang sedang berlaku secara diam-diam hari ini.


RAJA BAHRIN SHAH ialah pengerusi Amanah Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.