Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jadi 'jenaka' jika PSC enggan teliti bantahan Azam - MP

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri tidak sepatutnya menangguhkan mesyuaratnya pada Rabu ini, kata Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Dia juga berkata sekurang-kurangnya, jawatankuasa parlimen itu sepatutnya membincangkan bantahan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk memberi keterangan di hadapan mereka.

Akmal yang juga ketua Pemuda PKR (AMK) berkata jawatankuasa pilihan khas melibatkan wakil pembangkang dan kerajaan itu sebahagian daripada tiga tonggak pemisahan kuasa, iaitu legislatif (pembuat undang-undang), eksekutif dan kehakiman.

"Jika parlimen menerima bantahan untuk menangguhkan PSC tanpa menunggu prosiding untuk membincangkan alasan-alasan tersebut sebelum keputusan dibuat, ini dilihat sebagai jenaka kepada badan legislatif dan bahawa isu ini akan mengundang kepada darurat integriti," kata Akmal kepada Malaysiakini.

Difahamkan, Pengerusi Jawatankuasa Agensi Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) hari ini telah menghantar surat kepada lapan ahli jawatankuasa lain mengenai bantahan Azam.

Antara lain, Azam berkata dakwaan berhubung pegangan ekuitinya sebelum ini dalam syarikat senaraian awam sudah pun menjadi subjek saman fitnah dan siasatan pihak berkuasa lain.

Oleh itu, Azam berhujah keterangannya di hadapan Jawatankuasa Agensi akan melanggar Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Sekitar tengah hari ini, ahli jawatankuasa PSC berkenaan dimaklumkan sesi pendengaran mereka pada Rabu ini ditangguhkan.

Sementara itu, Akmal berkata AMK akan menghantar petisyen kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengatasi "krisis" yang menyelubungi SPRM apabila parlimen bersidang semula pada Khamis ini.

Akmal dalam surat-menyuratnya kepada Ismail hari ini juga berkata petisyen itu akan merangkumi beberapa cadangan.

"Walaupun desakan demi desakan telah dibuat oleh pelbagai pihak, kegagalan menguruskan isu integriti ini akan menyebabkan keyakinan rakyat terhadap usaha melawan rasuah dan salah guna kedudukan akan semakin terhakis.

"Malah, kerajaan mahaupun parlimen masih belum menunjukkan kesungguhan yang jelas untuk mereformasikan institusi seperti SPRM serta mengelakkan permasalahan seumpama ini berulang," kata surat Akmal yang disebarkan kepada media itu.

Ismail telah memanggil sidang khas Dewan Rakyat selama sehari pada Khamis ini untuk memberi taklimat kepada Dewan Rakyat mengenai tindak balas kerajaan terhadap banjir.

Tiada perbahasan rang undang-undang dalam agenda sidang khas parlimen ini. Notis 14 hari untuk sidang itu juga bermakna ahli parlimen tidak boleh mengemukakan usul sebagaimana kebiasaan kepada pejabat speaker.