Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis siasat dakwaan minuman Adun Pasir Bedamar dicampur dadah

Polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Adun Pasir Bedamar Terence Naidu bahawa minumannya telah dicampur dengan dadah sebelum ditangkap dalam satu serbuan baru-baru ini di Pulau Pinang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan akan dijalankan sepenuhnya, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Kita telah hantar sampel (urin) ke patologis untuk dapatkan laporan lengkap. Individu itu juga telah membuat laporan polis mendakwa ada yang telah memasukkan sesuatu dalam minuman. Itu pun kita akan siasat.

“Sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan atau membuat laporan polis. Kita akan siasat selengkapnya sebelum kertas siasatan disiapkan, dan dihantar ke DPP untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ayob berkata demikian dalam sidang media berkaitan kejayaan JSJN Bukit Aman merampas dadah bernilai RM111.2 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid.

Ayob Khan berkata siasatan juga dilakukan terhadap dua anggota polis, yang turut ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan karaoke pada Khamis.

Semalam, Terence Naidu dalam satu kenyataan mendakwa dihidangkan minuman ‘aneh’ sebelum ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang kelmarin, kerana disyaki positif dadah.

Adun DAP itu berkata sebelum ditahan, dia diundang bertemu kawan-kawan yang juga pelanggan untuk perjumpaan dan makan sempena Tahun Baru Cina.

Menurutnya, ekoran insiden itu, sebaik sahaja dibebaskan, dia telah membuat laporan polis menyatakan dia terdedah kepada anasir yang mencurigakan.

-Bernama