Pengurusan kuil Batu Caves mohon SOP Thaipusam dipertimbang semula
Jawatankuasa Sri Mariamman Devasthanam Kuala Lumpur yang mengurus Kuil Sri Subramaniam Batu Caves hari ini menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan sempena perayaan Thaipusam pada 18 Jan ini.
Pengerusinya, R Nadarajah berkata bahawa pihak kuil tidak dapat menerima beberapa keputusan yang diambil dalam dalam mesyuarat kuartet menteri Covid-19.
"Kami telah membuat rayuan kepada kerajaan pada 12 Jan. Proses rayuan masih sedang berjalan dan masih berbincang.
"Kami meminta kerajaan mempertimbang semula SOP yang ditetapkan sebelum ini," katanya dalam sidang media di kuil Batu Caves, hari ini.
Waktu pembukaan kuil antara 5 pagi hingga 5 petang bagi upacara sembahyang dan larangan 18 tahun ke bawah untuk hadir antara syarat yang diminta dipertimbang semula.
"Mereka yang minta kami untuk mendaftar penganut yang menghadiri ke kuil. Sehingga kini lebih 90,000 telah mendaftar.
"Bagaimana kami nak halau mereka? Waktu yang ditetapkan oleh kerajaan tidak boleh diterima," katanya.
Untuk rekod, sebelum ini Menteri Perpaduan Negara Halimah Mohamed Sadique berkata bahawa bagi kuil Batu Caves, sebanyak 6,000 penganut dibenarkan setiap hari pada 16 Jan, 17 Jan dan 19 Jan.
Pada 18 Jan yang merupakan hari Thaipusam, sebanyak 9,000 penganut dibenarkan.
Katanya, setiap hari dibahagi kepada 12 sesi bermula 5 pagi hingga 5 petang dengan satu jam setiap sesi.
Sementara itu, setiap sesi dibenarkan 500 penganut untuk upacara sembahyang. Tempoh 30 minit untuk upacara sembahyang dan 30 minit lagi untuk proses sanitasi, manakala pada 18 Jan, sebanyak 18 sesi dibenarkan bermula 5 pagi hingga 11 malam dengan jumlah kehadiran yang sama seperti hari lain.
Dia turut berkata bahawa individu berumur bawah 18 tahun tidak dibenarkan hadir di kuil.
Bagaimanapun, Nadarajah berkata adalah mustahil untuk mengadakan perayaan Thaipusam tanpa kehadiran kanak-kanak.
"Ibu bapa membuat hajat bagi pihak anak mereka. Upacara cukur rambut dan karumbu kavadi (kavadi diperbuat daripada tebu) adalah antara upacara khas untuk kanak-kanak.
"Kami harap kerajaan akan meluluskan rayuan kami dengan SOP ketat yang sedia ada untuk memeriahkan perayaan tahunan ini yang telah dibatalkan tahun lepas akibat Covid-19," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai