Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MB Perak: Adun parti manapun perlu jadi teladan rakyat

Mana-mana individu yang dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), walau dari parti mana sekalipun, perlu menjadi contoh dan teladan yang baik kepada rakyat, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata ia termasuk kewajipan mematuhi undang-undang negara, baik dari kem kerajaan mahupun pembangkang, kerana mereka adalah penggubal undang-undang selain menjadi rujukan kepada komuniti di kawasan masing-masing.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Kursus Ejen Mengundi, Ejen Pengira dan Ejen Barong (PACABA) serta Pelancaran Sukarelawan Sabil Negeri Perak, yang turut dihadiri Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki di Ipoh hari ini.

Menteri besar itu berkata demikian bagi mengulas kes seorang Adun negeri ini yang ditahan kerana positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang, Khamis lepas.

Beliau berkata kes itu diserahkan kepada pihak berkuasa dan sebarang tindakan akan ditentukan setelah siasatan kes selesai dijalankan oleh pihak polis.

Sementara itu Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dalam kenyataan hari ini berkata Adun berkenaan perlu memberi laporan bertulis berhubung penahanannya dalam serbuan itu, supaya pimpinan parti di peringkat negeri dan pusat dimaklumkan mengenai situasi sebenar yang berlaku.

"Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat, bahawa DAP memandang berat soal kelakuan, karakter, dan integriti wakil rakyatnya dan mereka seharusnya menjadi contoh kepada orang ramai, yang diberi kepercayaan untuk menjadi pemimpin,” katanya.

Nga berkata pihaknya telah menghubungi Adun itu dan mengesahkan bahawa dia ditahan Khamis lepas, dan dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam.

- Bernama