Pengertian Isham Jalil konsep 'pengkhianatan' mengelirukan - Faizal Azumu
Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menempelak Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil berhubung kenyataanya bahawa pilihan raya negeri (PRN) Johor perlu disegerakan bagi menghalang "gangguan pengkhianat" dari partinya.
Ahmad Faizal berkata ini kerana Bersatu ditubuhkan untuk melawan kleptokrasi dan bukannya untuk menyelamatkan pemimpin yang bersekongkol dengan salah guna kuasa.
"Bersatu melawan kleptokrasi, kemungkaran, rasuah dan salah guna kuasa. Menganggap perbuatan tersebut sebagai pengkhianatan hanya bermaksud seseorang itu menyokong perbuatan berkenaan.
"Pengertian Isham Jalil berkenaan konsep pengkhianatan amat mengelirukan," katanya kepada Malaysiakini.
Ahmad Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Isham bahawa PRN Johor perlu disegerakan bagi menghalang "gangguan pengkhianat" dari Bersatu.
Berucap dalam majlis pertemuan dengan veteran Umno Johor semalam, Isham berkata selain menyegerakan PRN Johor, usaha itu juga merupakan langkah bagi membolehkan kerajaan menggubal dasar dengan lebih selesa.
Katanya, kerajaan negeri pimpinan Umno kini hanya menguasai majoriti satu kerusi tunggal yang menyukarkan kerajaan negeri menggubal sebarang dasar tanpa ditentang oleh pembangkang.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal yang juga menteri belia dan sukan berkata Menteri Besar Johor Hasni Mohammad tidak akan sanggup bekerjasama dengan Bersatu sekiranya menganggap parti itu sebagai pengkhianat.
"Saya tidak percaya yang amat berhormat Menteri Besar Johor sanggup bersengkongkol dengan pengkhianat untuk menubuhkan kerajaan negeri Johor sekarang.
"Isham Jalil tidak seharusnya menghina menteri besar Johor dan perkenan DYMM Sultan dalam melantik barisan Exco kerajaan negeri Johor daripada Bersatu jika Bersatu itu pengkhianat," tegasnya.
'Siapa ganggu siapa?'
Sementara itu, Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman ketika dihubungi turut menyelar kenyataan Isham itu.
"Pembaca boleh menilai tahap kewarasan mental mantan setiausaha politik (bekas perdana menteri) Najib Razak ini apabila mengaitkan PRN Johor dengan gangguan dari parti Bersatu. Siapa ganggu siapa?
"Adakah terganggu kerana "Bossku" yang sudah dua kali kecundang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan kerana didapati bersalah kes korupsi SRC?" soalnya.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata jika Bersatu mengkhianat Umno-BN mungkin sudah lama dulu kerajaan negeri Johor jatuh sekali gus membebankan rakyat dengan kos mengadakan pilihan raya di negeri terbabit.
"Jika parti Bersatu khianat Umno-BN mungkin sudah lama kerajaan negeri Johor juga jatuh dan menyusahkan rakyat untuk menghadapi PRN ketika musim bencana sekarang ini seperti di Melaka tempoh hari," katanya.
"PRN juga melibatkan kos yang lebih besar (duit rakyat) jika dibuat berasingan dari pilihan raya umum (PRU)," tambahnya.
Bagaimanapun, menurut Muhammad Faiz usaha untuk menyegerakan PRN Johor ini dilihat mempunyai agenda tersendiri.
"Pihak yang beriya-iya mahu PRN Johor secepat mungkin mempunyai satu agenda saja, mahu mendominasi kuasa politik secara mutlak ke atas negeri tersebut kerana tidak mahu proses semak imbang jika berkongsi kuasa seperti sekarang ini," katanya.
Oleh itu, Muhammad Faiz berkata adalah lebih baik untuk Isham memberikan fokusnya kepada Selangor selaku ketua penerangan BN di negeri itu.
"Kerana negeri tersebut pun sudah berdekad menolak Umno-BN sebelum Bersatu wujud lagi," sindirnya.
Isham juga sebelum ini secara terbuka membayangkan Johor mungkin mengadakan PRN dalam tempoh separuh pertama tahun ini.
Bahkan Isham juga menyatakan keyakinannya yang Umno mampu memenangi sehingga 42 daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) Johor.
Pada 25 Dis lalu, kerajaan Johor yang diketuai Umno - dan disokong Perikatan Nasional - memaklumkan akan memantau keadaan semasa termasuk keperluan untuk mengadakan PRN berikutan hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di DUN.
Hasni berkata dia akan bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk memaklumkan tentang kedudukan kerajaan negeri yang ketika ini mempunyai majoriti yang amat tipis dan mendakwa dikhuatiri bertambah tidak stabil.
Khabar mengenai pembubaran DUN dan PRN Johor itu bertambah kuat sejak seminggu dua ini apabila parti politik, termasuk Pakatan Harapan (PH) Johor mengakui ada membincangkan perkara itu dalam mesyuarat mereka, baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya mendapat maklumat DUN Johor mungkin akan dibubarkan seawal 15 Januari ini.
Bagaimanapun pembangkang konsisten berpendapat PRN tidak sesuai diadakan sekarang.
Untuk rekod ketika ini kerajaan Johor dipimpin oleh Umno dengan sokongan Bersatu dan PAS.
Dengan kematian Adun Kempas, Osman Sapian, pada 21 Dis tahun lalu, gabungan itu memiliki 28 kerusi DUN berbanding Pakatan Harapan (PH) 27 kerusi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai