Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

CJ akui kedudukan M'sia merosot dalam isu pemerdagangan manusia

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat mengakui kedudukan Malaysia menurun ke Tahap 3 dalam laporan pemerdagangan manusia.

Bagaimanapun, Tengku Maimun berkata struktur perlembagaan mengehadkan mahkamah di Malaysia untuk mengambil langkah aktif dalam memerangi jenayah berkenaan.

Tengku Maimun menjelaskan bahawa disebabkan struktur perlembagaan ini, kehakiman di Malaysia hanya boleh menangani kes pemerdagangan manusia berdasarkan undang-undang dan bukti yang dikemukakan.

Dia juga menegaskan bahawa angka rasmi pemerdagangan manusia antara 2018 dan 2021 menunjukkan trend penurunan yang ketara, dengan pandemik Covid-19 banyak mengurangkan pergerakan keluar masuk ke negara ini.

“Kami prihatin terhadap penurunan dalam kedudukan antarabangsa kita.

“Bagaimanapun, difahamkan bahawa dalam sistem adversarial seperti kita, mahkamah, mengikut reka bentuk perlembagaan, tidak mampu mengambil langkah aktif untuk menghapuskan pemerdagangan manusia.

“Walaupun kes sebegitu dibawa ke mahkamah, hakim mesti memutuskannya mengikut undang-undang, fakta dan bukti,” katanya.

Tengku Maimun berkata demikian ketika berucap di pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman, Putrajaya, pagi tadi.

Pada 1 Julai tahun lepas, Reuters melaporkan Jabatan Negara AS menurunkan kedudukan Malaysia ke kedudukan terendah dalam laporan tahunan pemerdagangan manusia yang dikeluarkan akhir tahun lepas.

Agensi berita antarabangsa itu melaporkan bahawa penurunan itu menyebabkan Malaysia jatuh ke "Tahap 3" selepas tiga tahun dalam "Senarai Pantau Tahap 2" dalam laporan Pemerdagangan Manusia (TIP).

Jabatan Negara AS meletakkan kedudukan Malaysia pada Tahap 3 kerana gagal mematuhi piawaian minimum untuk menghapuskan pemerdagangan atau melakukan usaha penting untuk mematuhinya.

Tahap 3 boleh menyebabkan Malaysia dikenakan sekatan oleh AS bagi pembiayaan bantuan asing.

Malaysia dikenal pasti sebagai destinasi utama sindiket pemerdagangan manusia.

Negara ini bergantung kepada jutaan pekerja asing untuk bekerja di kilang dan ladang serta menempatkan lebih 170,000 pelarian dan pencari suaka berdaftar, yang kebanyakannya merupakan pelarian Rohingya dari Myanmar.

Laporan TIP 2020 mengatakan meskipun Malaysia mengambil langkah untuk menghapuskan pemerdagangan manusia, rasuah menjejaskan usaha berkenaan.

Jumlah siasatan pemerdagangan buruh juga adalah lebih rendah berbanding masalah sebenar yang berlaku.

Dilaporkan bahawa Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS mengenakan sekatan import ke atas tiga syarikat Malaysia atas dakwaan menggunakan buruh paksa.

Aktivis hak buruh telah membuat petisyen kepada CBP untuk menyiasat lebih banyak firma tempatan berhubung isu salah guna buruh.