Jika jambatan ditutup, pelajar perlu jalan kaki sejam ke sekolah
Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sibugal Besar dari Kampung Nelayan Tengah dan Kampung Pampang dekat sini terpaksa mengambil masa kira-kira sejam untuk ke sekolah jika jambatan gantung di Sungai Batang ditutup.
Nur Juwita Julianna Amson, 12, dari Kampung Nelayan Tengah berkata dia pernah berjalan kaki ke sekolah bersama rakan melalui jalan besar untuk berulang-alik ke sekolah dan perjalanan itu mengambil masa dua kali ganda berbanding menggunakan jambatan gantung.
"Kalau ikut jambatan gantung, perjalanan ke sekolah hanya dalam 30 minit.
"Kalau jambatan ini ditutup, terpaksalah saya minta tolong abang saya menghantar dan mengambil saya dari sekolah dengan motorsikal sebab kalau jalan kaki memang jauh," katanya kepada Bernama.
Jabatan Kerja Raya dan Majlis Perbandaran Sandakan telah mengarahkan jambatan itu ditutup berkuat kuasa semalam kerana keadaannya yang usang boleh mengundang bahaya kepada pengguna.
Bagaimanapun, ketika tinjauan Bernama hari ini, tiada notis penutupan diletakkan di jambatan itu dan penduduk kampung, termasuk murid sekolah, masih memberanikan diri menggunakannya.
"Janganlah ditutup. Baiki sahaja. Kami bukan ada kereta. Kalau ditutup, bagaimana kami hendak ke sekolah?
"Kami minta bantuan kepada kerajaan supaya jambatan ini cepat-cepatlah dibaiki kerana kami juga takut kalau terjadi apa-apa di jambatan ini. Dalam sungai itu pun ada banyak buaya," kata Muhamad Ismail Abdullah, 11.
Pesara kerajaan Ikra Dugasah, 65, pula lebih suka jika jambatan itu ditutup sementara dan digantikan dengan yang baharu serta lebih kukuh.
"Kalau boleh, kami mintalah dibina jambatan yang juga boleh dilalui oleh motosikal dan direka dengan rekaan yang boleh menarik kunjungan orang ramai ke kampung ini.
"Ramai yang datang bergambar dan menyaksikan matahari terbenam di jambatan ini termasuk pelancong asing semasa sebelum pandemik, dan ada juga kru produksi datang membuat penggambaran di sini," katanya.
Ikra, yang pernah bertugas di JKR, berkata jambatan gantung itu dibina bagi menggantikan sebuah jambatan kayu beberapa meter dari lokasi asal di Sungai Batang selepas sungai itu dilebarkan sebagai mitigasi banjir di kampung tersebut.
Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Sibugal Besar Roslan Muksan berkata pihaknya pernah meluahkan kebimbangan berhubung keselamatan murid yang menggunakan jambatan itu namun pertukaran kerajaan pada 2018 menyebabkan usaha ke arah membaik pulih struktur tersebut tergendala.
"Setelah Umno kembali dalam kerajaan memerintah sekarang, usaha ke arah membaik pulih jambatan itu dihidupkan semula… Kami sedar penutupan jambatan itu akan menjejaskan persekolahan anak-anak yang biasanya berjalan kaki dari Kampung Nelayan Tengah dan Kampung Pampang tetapi ini semua untuk keselamatan mereka," katanya.
Beliau berkata keluarga murid yang terjejas boleh mengusahakan cara untuk ke sekolah sementara jambatan itu ditutup kerana jumlah mereka tidak ramai berbanding yang menaiki kenderaan dari kedua-dua kampung.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai