Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

CAP: Kerajaan perlu perkenal undang-undang pengurusan plastik

Kerajaan disaran memperkenalkan undang-undang membabitkan pengeluaran, penggunaan, pengitaran semula dan pelupusan semua plastik mengandungi toksik yang memberi kemudaratan besar terhadap manusia serta alam sekitar, kata Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata Malaysia adalah antara destinasi utama pengeksport sisa plastik dilihat menjadi perniagaan yang menguntungkan namun ia menimbulkan masalah serius terhadap alam sekitar serta hidupan disebabkan kekurangan peraturan dan pengawasan oleh pihak berkuasa.

"Hal ini berlaku kerana plastik yang tidak sesuai untuk dikitar semula mungkin dilupuskan melalui pembakaran, justeru ia melepaskan bahan kimia toksik ke dalam alam sekitar ataupun mungkin dibuang ke tapak pelupusan sampah.

"Dengan itu, ia berpotensi mencemarkan tanah dan sumber air," katanya kepada pemberita pada sidang media di George Town, hari ini.

Menurut Mohideen berdasarkan kajian dilakukan CAP sejak 1998 ke atas plastik terpakai yang dikitar semula menjadi pelet, didapati terdapat bahan kimia dalam bahan tersebut yang boleh membahayakan kesihatan.

"CAP mendapatkan pelet plastik kitar semula daripada pengitar plastik yang mengeksport dan menjual pelet tersebut kepada pengeluar tempatan untuk dijadikan produk baru.

"Kesemua pelet itu dianalisis dan terbahagi kepada tiga kumpulan yang mengandungi bahan kimia berbahaya iaitu penstabil UV benzotriazole, bahan kalis api berbromin dan Bisphenol A," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik CAP Hatijah Hashim berkata penstabil UV benzotriazole ialah sekumpulan penstabil UV yang ditambah kepada plastik, penyalut dan kosmetik.

Katanya ia boleh berkumpul dan kekal dalam alam sekitar, seterusnya akan mengganggu sistem endokrin (sistem dalam badan yang bertanggungjawab menghasilkan hormon oleh kelenjar tertentu dan masuk ke darah untuk mengawal atur aktiviti badan).

"Bahan kalis api berbromin dan Bisphenol A juga boleh menjejaskan sistem endokrin, sistem imun dan pembiakan, malah ada antaranya didapati menjejaskan perkembangan otak kanak-kanak," katanya.

Justeru kata Hatijah, kerajaan sepatutnya tidak menggalakkan perniagaan mengitar semula plastik bertoksik kerana ia bukan sahaja memusnahkan alam sekitar malah turut menjejaskan kesihatan pekerja dan pengguna.

"Pengeluaran plastik perlu dikurangkan secara drastik dan perdagangan sisa plastik perlu diharamkan (dengan pelaksanaan undang-undang)," katanya.

- Bernama