Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan M'sia, Indonesia digesa dedahkan MOU pembantu rumah

Kerajaan Malaysia dan Indonesia digesa supaya lebih telus dalam menetapkan yuran pengambilan pembantu rumah dari Indonesia.

Kumpulan pekerja pembantu rumah di Malaysia, Kearah 189 berkata, hal ini penting kerana ia boleh meletakkan risiko kepada pembantu rumah untuk bekerja di negara ini.

“Terdapat kelemahan undang-undang dan dasar yang menawarkan dasar komprehensif yang melindungi hak pekerja asing.

“Malah cadangan pindaan kepada Akta Pekerjaan secara jelas menafikan hak pembantu rumah dalam Jadual Pertamanya,” kata wakil Kearah 189, Irene Xavier dan Adrian Pereira dalam satu kenyataan semalam.

Kerajaan Malaysia dan Indonesia sedang ke arah memeterai memorandum persefahaman (MOU) mengenai pengambilan pembantu rumah Indonesia di Malaysia, yang dijadual ditandatangani pada Februari.

MOU antara Malaysia dan Indonesia sebelum ini telah tamat pada 2016.

Menteri Sumber Manusia, M Saravanan sebelum ini berkata, memorandum itu akan meliputi bayaran antara RM10,000 dan RM15,000 yang perlu dibayar oleh majikan.

'Nyatakan kos terperinci'

Bagaimanapun, Kearah 189 meminta penjelasan dengan mengatakan kos terperinci untuk bayaran tersebut tidak dinyatakan.

Kumpulan itu berkata bayaran yang berlebihan untuk menggajikan pembantu rumah akan lebih mendedahkan mereka kepada risiko ekploitasi.

"Kearah 189 amat menyedari tentang bahaya bayaran pengambilan yang tinggi dan kesannya terhadap beban kerja bagi seseorang pekerja," kata mereka.

Mereka percaya perlu ada ketelusan dalam perbincangan mengenai MOU berkenaan dengan melibatkan pandangan semua pemegang taruh.

“Ketelusan akan membolehkan kerajaan mendengar pandangan pihak berkenaan. Kami percaya dengan cara ini, kepentingan pekerja dapat didengari,” kata mereka.

Mereka menegaskan bahawa pembantu rumah tidak mempunyai kesatuan sekerja untuk bercakap mewakili mereka.

Oleh itu, pandangan pihak yang berkepentingan seperti agensi pekerja asing lebih didengari.

Irene dan Adrian juga berkata terdapat seramai 88,173 pembantu rumah asing di Malaysia yang memegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) setakat Disember 2021, dengan majoriti daripada mereka adalah dari Indonesia.

"Ini adalah sejumlah besar pekerja asing Indonesia yang akan terkesan oleh MOU yang dicadangkan untuk ditandatangani tidak lama lagi," kata mereka.

Oleh itu, Kearah 189 membangkitkan empat tuntutan untuk dilaksanakan segera:

1. Supaya Kearah 189 dan pihak berkepentingan lain dimasukkan dalam rundingan bagi proses MOU berkenaan.

2. Yuran pengambilan ditetapkan pada angka yang munasabah kerana cadangan sebanyak RM10,000 hingga RM15,000 adalah keterlaluan;

3. Kerajaan memastikan pekerja membayar sifar yuran untuk pengambilan dan penempatan; dan

4. Pembantu rumah asing mempunyai akses untuk membangkitkan isu ketidakpatuhan MOU atau undang-undang buruh Malaysia. Proses ini mesti mengambil kira kesukaran pembantu rumah untuk membuat aduan, tanpa rasa takut akan tindakan balas daripada majikan mereka.

Untuk tujuan itu, Kearah 189 mencadangkan digubal Akta Pekerja Pembantu Rumah dan dasar komprehensif untuk pekerja asing.