Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jerih perih Mike menghafal 30 juzuk al-Quran 'berbuah manis'

Untuk menghafal suatu surah yang panjang saja sudah cukup mencabar, apa lagi mengingati dengan kukuh kesemua 6,236 ayat kitab suci al-Quran yang setebal 604 muka surat itu.

Dalam kalangan penganut Islam, kejayaan menghafal al-Quran merupakan pencapaian yang begitu dipandang tinggi kerana ia menuntut ketekunan yang bukan calang-calang.

Justeru, kejayaan seorang mualaf yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak lahir, Tan Mike Foong, 26, mengkhatamkan hafazan al-Quran sebanyak 30 juzuk kesemuanya benar-benar mengundang rasa kagum.

Kejayaan pemuda yang mesra disapa Mike itu dikongsikan institusi Darul Quran di Twitter beberapa hari lalu dengan mengimbau perjalanan ditempuhnya sejak mula menjadi pelajar Program Sijil Asas Tahfiz pada 2019.

Mike - yang kini sedang menghabiskan pengajian Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat di situ - juga mengakui perjalanannya tidak mudah, bahkan penuh turun dan naik.

Pada ketika tertentu, katanya, dia sendiri pernah hampir berputus asa kerana terhimpit dengan tekanan pengajian.

“Down itu lebih banyaklah, sampaikan saya pernah fikir saya hendak berhenti sebab saya tak boleh bawa. Sebab sistem ia (di Darul Quran) ada target (sasaran).

"Target dia minimum dua muka surat sehari,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Menggagahkan diri ke garis akhir

Dua muka surat bagi Mike adalah jumlah yang banyak, lebih-lebih lagi kerana ia kadangkala mengandungi ayat-ayat yang lebih panjang dalam satu surah berbanding surah lain.

“Terutamanya surah-surah yang susah-susah, macam (dalam) juz 11, 15, 20. Allahuakbar, tak boleh pergi dah,” katanya yang mengucap dua kalimah syahadah pada 2015.

Juzuk (juga dipanggil juz) merupakan istilah pembahagian dalam al-Quran. Secara keseluruhan al-Quran terbahagi kepada 30 juzuk dengan setiap satu mengandungi 20 muka surat.

Kongsi Mike, perasaan tertekan itu paling kuat dirasainya ketika dia berada di hujung pengajian, iaitu antara 2020 hingga 2021.

Ketika itu, tambah Mike, dia sudahpun merangka rancangan masa depan sendiri sekiranya dia benar-benar menamatkan pengajian di pertengahan jalan.

Namun, atas nasihat seorang sahabat rapat yang memintanya bersabar dan memikirkan kos biasiswa yang harus dibayar balik sekiranya dia berhenti, Mike menggagahkan diri sehingga ke garisan akhir.

Menghafal 30 juzuk al-Quran merupakan keperluan untuk menamatkan pengajian yang ditetapkan di Darul Quran yang ditadbir oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu.

Meskipun berjaya menghabiskan hafalan 30 juzuk al-Quran, Mike mengakui kualiti hafalannya sekarang tidaklah berada pada tahap memuaskan namun dia berazam untuk mengatasinya selepas ini.

“Keluarga bukannya kaya sangat, biasa-biasa saja. Payah juga (melunaskan biasiswa). Jadi, saya teruskan walaupun sejujur-jujurnya, kualiti (hafalan) masih lagi belum memuaskan.

“Tapi saya anggap, bila dah habis (pengajian), inilah masanya untuk saya tambah baik lagi kualiti (hafalan) saya,” katanya yang dijangka bergraduasi pada Mac atau April ini.

Tak mampu setekun pelajar lain

Kata Mike, dalam kumpulan pengajiannya terdapat empat orang OKU penglihatan termasuk dirinya sendiri.

Pada 2019, Mike dan ibunya, Ang Bee Cheng, 51, pernah mencuri perhatian ramai apabila wanita itu - yang bukan beragama Islam - hadir menemani semasa majlis konvokesyen Darul Quran untuk Sijil Asas Tahfiz Darul Quran.

Menceritakan rutinnya, kata Mike, setiap kali selepas solat Subuh, dia akan ‘cari modal’ - istilah yang lazim digunakan merujuk kepada hafalan baru - dan mula menghafal untuk memastikan dia dapat memenuhi keperluan dua muka surat sehari untuk tasmik atau sesi memperdengarkan hafazan di hadapan guru.

Namun, katanya, dia tidaklah mampu menghafal setekun pelajar-pelajar lain, terutamanya yang memang berlatarbelakangkan institusi tahfiz sejak kecil. Justeru katanya dia hanya menghafal mengikut kemampuan sendiri sahaja.

“Tapi insya-Allah, selepas ni saya memang fokus betul-betul (untuk membaiki hafazan mengikut kelajuan sendiri),” katanya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak.

Ditanya tentang perancangan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda, kata Mike, dia tidak berhasrat sedemikian. Sebaliknya, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap kelas mengaji dalam talian yang dikendalikannya sejak tiga bulan lalu.

“Saya dah cuba (mencari pekerjaan) menerusi Jobstreet, tapi tak dapat. Okeylah, tak apalah. Daripada mengharapkan benda-benda macam tu, baiklah saya cipta peluang sendiri.

“Biar masyarakat pun dapat manfaat, saya sendiri pun dapat manfaat, OKU lain pun dapat manfaat,” katanya lagi yang kini mengendalikan tiga orang pelajar yang diajar secara seorang dengan seorang (one on one).

Buat masa ini, Mike belum benar-benar mempromosikan kelasnya itu.

Hal sedemikian dilakukannya kerana dia sendiri terkekang oleh masa kerana harus mengulang kaji subjek bahasa Arab bagi membolehkan dia mendapat kepujian (gred C dan ke atas) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sebagai syarat konvokesyen di Darul Quran.

Kelasnya juga buat masa ini tidak melibatkan kanak-kanak, sebaliknya hanya orang dewasa.

Ditanya tentang ayat al-Quran kegemarannya, Mike secara berseloroh membaca ayat pertama surah an-Naba: 'Amma yatasaa aluun.

Surah an-Naba merupakan surah pertama dalam juzuk ke-30 - juzuk terakhir yang juga dikenali sebagai juz 'amma bersempena perkataan pertama dalam surah itu - memang terkenal dengan surah-surah yang pendek yang sering dihafal orang awam sebagai bacan dalam solat.

“Bila juzuk 'amma ini dia memang senang dan pendek,” kata jejaka yang bakal mengakhiri zaman bujangnya dijangkakan dalam pertengahan tahun ini, sambil ketawa.