Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Harimau berkeliaran di Gua Musang dijangkiti virus

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan mendapati beberapa ekor harimau yang berkeliaran dalam lingkungan 10 kilometer dari Pos Bihai, Gua Musang, dijangkiti virus canine distemper (CDV).

Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata jangkitan itu dikesan berdasarkan sampel najis haiwan yang diambil di lokasi.

Menurutnya, disebabkan masalah jangkitan itu harimau terbabit mengalami simptom hidung berair di samping perubahan tingkah laku sehingga tidak seperti harimau sihat.

"Jangkitan virus yang dihadapi harimau belang berkenaan sama sebagaimana yang berlaku terhadap harimau yang ditangkap pihak Perhilitan di Terengganu beberapa bulan lalu.

"Berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan pakar haiwan liar Jabatan Veterinar Terengganu ketika itu memaklumkan virus berkenaan akan menyebabkan haiwan liar itu seperti bingung dan tidak dapat membezakan sifat pemangsa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini pada Jumaat lalu melaporkan seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau dalam kejadian di Kampung Sau dekat Pos Bihai.

Selain itu beberapa ekor haiwan pemangsa itu didapati berkeliar termasuk di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai dan SK Balar.

Dalam perkembangan itu Mohd Hafid berkata, Perhilitan kini berusaha dengan menggunakan pelbagai pendekatan untuk menangkap harimau terbabit selain bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang.

"Pada masa sama, kami sedang mengkaji sama ada harimau yang menyerang dan membaham seorang penduduk Orang Asli, Jumaat lalu dari kumpulan tiga harimau yang berkeliaran atau kumpulan harimau lain yang berada di kawasan sekitar.

"Buat masa ini dipercayai kumpulan tiga harimau berkenaan masih ada dan bergerak aktif.

"Disebabkan ancaman itu, penduduk Orang Asli di beberapa kampung di sekitar Pos Bihai sudah berpindah ke lokasi selamat," katanya.