Taklimat Pelan Tindakan Masyarakat India pada hari Ponggal ditangguhkan
Selepas dikecam pembangkang, Kementerian Perpaduan Negara menangguhkan sesi libat urus mengenai Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) yang sebelum ini ditetapkan pada hari yang sama dengan sambutan Ponggal.
Menterinya Halimah Mohamed Sadique dalam surat bertarikh 10 Jan, yang dilihat Malaysiakini, memberitahu bahawa sesi tersebut ditangguhkan selepas mengambil kira perayaan Ponggal.
"Walaupun ada cadangan untuk diadakan sesi libat urus Pelan Tindakan Masyarakat India (PTMI) pada 14 Januari 2022.
"Namun dengan mengambil kira pada tarikh tersebut merupakan hari pertama sambutan perayaan Ponggal yang akan diraikan oleh masyarakat India di Malaysia.
"Maka sesi tersebut ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian," jelas Halimah dalam surat tersebut.
Ponggal ialah sambutan pesta menuai bagi masyarakat India.
Ketika dihubungi, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran mengesahkan menerima surat pemakluman Halimah berkaitan penangguhan itu.
"Betul. Taklimat itu ditangguhkan pada satu tarikh yang baru," katanya.
Sebelum ini, Kulasegaran yang juga naib pengerusi DAP menyifatkan keputusan kementerian mengadakan taklimat itu pada 14 Jan, pada Jumaat ini bertepatan perayaan Ponggal sebagai tidak sensitif.
Sementara itu, Kulasegaran berkata dia menyambut baik keputusan kementerian untuk menangguhkan taklimat itu ke satu tarikh yang baru.
Namun, dia juga meminta Halimah turut mengundang Adun lain yang berminat untuk menyertai taklimat itu.
"Kehadiran Adun ke taklimat ini penting kerana mereka juga wakil rakyat dan perlu diberi peluang untuk menyuarakan pandangannya," katanya.
‘Bincang juga isu Mitra’
Kulasegaran juga sekali lagi menggesa Halimah untuk memasukkan perbincangan mengenai kontroversi Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) dalam agendanya.
"Perbincangan mengenai Mitra ini adalah sangat penting. Taklimat ini adalah mengenai menggubal polisi baru mengenai PTMI.
"Bagaimana nak cadangkan polisi dan idea baru tanpa memperbetulkan kesalahan lama?
"Dilaporkan hampir RM400 juta diperuntukkan kepada masyarakat India Malaysia melalui Mitra dipulangkan setelah tidak digunakan. Ini perlu dibincang supaya tidak berulang lagi," katanya.
Isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukan dikeluarkan Mitra.
Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti diluluskan geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.
Pada 22 Nov 2021, SPRM berkata mereka hampir selesai melengkapkan kertas siasatan melibatkan 10 syarikat yang menerima geran peruntukan Mitra.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai