Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

'Bogel di katil': Hakim kanan dakwa wanita buat laporan palsu

Seorang hakim kanan yang didakwa mencabul kehormatan seorang wanita yang sudah berkahwin dengan berbaring dalam keadaan berbogel di dalam bilik tidurnya membuat laporan polis balas terhadap penuduhnya.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Mohamad Farouk Eshak, hakim itu mendakwa wanita berkenaan membuat laporan polis palsu terhadapnya.

Ini dikatakan berlaku pada Disember tahun lalu, beberapa hari selepas wanita itu membuat laporan polis mengenai kejadian yang didakwa berlaku pada Ogos 2020.

“Ya, saya mengesahkan bahawa hakim itu juga telah membuat laporan polis terhadap wanita itu.

"Kami masih menyiasat kes itu," kata Farouk kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.

Dia berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, berhubung kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan.

Farouk berkata polis telah merakamkan kenyataan daripada beberapa individu, tetapi tidak menjelaskan secara terperinci.

Semalam, adalah dilaporkan polis telah melancarkan siasatan terhadap seorang hakim kanan selepas dia didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita yang sudah berkahwin pada 2020.

Menurut laporan berita, polis daerah Ampang sedang menyiasat kes itu selepas wanita berkenaan membuat laporan mendakwa dia menemui hakim tersebut dalam keadaan berbogel di atas katilnya.

Kejadian didakwa berlaku pada Ogos 2020 ketika hakim berkenaan melawat rumah wanita itu, yang tinggal bersama suaminya.