'Unboxing isteri' boleh runtuhkan institusi keluarga - timbalan menteri
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Ahmad Marzuk Shaary menegaskan trend 'unboxing isteri' boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.
Katanya ia apabila bakal ibu bapa sebagai tonggak institusi ini daripada awal lagi sudah tidak mengikut landasan nilai yang betul, apatah lagi mahu memupuk nilai moral anak-anak.
"Selain daripada menjelaskan hukum Islam yang melarang trend 'unboxing isteri' ini, saya menyeru agar semua pihak yang berperanan turut mengambil tindakan proaktif dengan mempromosi nilai keluarga Islam terutamanya di saluran media baharu yang ada," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, trend 'unboxing isteri' tular di media sosial dengan aktiviti memuat naik video suami sedang membuka aksesori pakaian isteri pada hari pertama perkahwinan mereka.
Perbuatan itu memberi gambaran perkara yang mereka (pasangan pengantin) lakukan sebelum 'malam pertama'.
Sementara itu Ahmad Marzuk berkata, memandang berat peranan keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil inisiatif memperkenalkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) Tahun 2019–2025.
Pelan ini katanya, diperkenalkan bertujuan untuk menangani gejala sosial dalam kalangan orang Islam di negara ini.
"Antara langkah-langkah yang diperkenalkan pelan ini adalah penetapan agar setiap agensi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mestilah memanfaatkan dan mengoptimumkan penggunaan media massa dan media sosial bagi mempromosikan nilai-nilai murni dalam institusi kekeluargaan Islam.
"Perancangan di pihak kerajaan ini juga sangat memerlukan kepada kerjasama yang holistik daripada semua lapisan masyarakat bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam pada hari ini," jelasnya.
Tambah anggota Parlimen Pengkalan Chepa itu, masyarakat hari ini hidup di zaman bercampur baur antara perkara yang halal dan haram.
Ujarnya, hal ini bukan perkara yang pelik melihat kepada bagaimana media sosial dioptimumkan sepenuhnya untuk mengumpul kekayaan melalui populariti dan ramainya jumlah ‘follower’.
"Sedikit sebanyak tempias ini turut menjejaskan nilai-nilai dalam sebuah institusi keluarga Islam. Pasangan suami isteri tidak lagi menghiraukan maruah, sehingga sanggup mendedahkan aib pasangan demi sebuah ‘content’," kata Ahmad Marzuk.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai