Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PBS nafi ubah pendirian isu warga asing tanpa izin di Sabah

Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak pernah berganjak daripada pendirian mengenai isu warga asing tanpa izin, kata setiausaha agungnya Joniston Bangkuai.

Dia menyanggah bekas senator parti Dr Chong Eng Leong, yang membangkitkan kebimbangan bahawa pelaksanaan Undi18 yang menurunkan umur pengundi kepada 18 daripada 21 tahun, mungkin memberikan hak mengundi kepada warga asing tanpa izin yang memperoleh kewarganegaraan mereka di bawah Projek IC sejak awal 1990-an.

"Kami sedar akan isu yang dibangkitkan oleh Dr Chong Eng Leong tetapi adalah tidak betul untuk mengatakan bahawa PBS telah mengubah pendiriannya dalam isu warga asing tanpa izi.

"Kami akan sentiasa menentang kehadiran mereka di Sabah dulu, kini dan selamanya. Sabah adalah untuk rakyat Malaysia yang tulen sahaja," kata Bangkuai, yang juga yang juga Adun Kiulu dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, dia berkata parti itu mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya memasukkan rakyat Sabah tulen dalam daftar pengundi berikutan pelaksanaan Undi18.

"PBS juga telah membuat janji temu dengan pengerusi SPR bagi menyatakan dan membincangkan kebimbangan kami dan PBS masih menunggu ia (mesyuarat) menjadi kenyataan, walaupun terdapat banyak tindakan susulan.

"Pendirian kami mengenai Pati dan 'Projek IC' tidak pernah goyah, dan PBS akan terus mencari jalan penyelesaian yang paling sesuai kepada masalah itu," katanya, yang juga pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar

Semalam, Chong membangkitkan kebimbangan bahawa pilihan raya umum akan datang akan menyaksikan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada pengundi berdaftar dalam daftar pengundi Sabah yang kini berusia 18 tahun akan mempunyai hak mengundi.

Katanya, mereka adalah hasil 'Projek IC' dan anak atau cucu mereka yang kini sudah cukup umur untuk didaftarkan.

"Rakyat 'Projek IC' ini mempunyai hak mengundi - lebih popular dirujuk sebagai pengundi hantu. Dianggarkan 10 tahun lalu sekurang-kurangnya 20 peratus daripada pengundi berdaftar dalam daftar pengundi Sabah adalah warga 'Projek IC' dan anak-anak mereka yang cukup umur untuk berdaftar sebagai pengundi," katanya.

"Apakah pendirian PBS sekarang mengenai perkara ini? Saya amat berharap Maximus sebagai Menteri Persekutuan bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak akan menangani perkara ini dengan pihak berkepentingan dan merangka pelan induk untuk 'menyelesaikan' semua masalah berkaitan warga asing di Sabah," kata Chong dipetik sebagai berkata oleh Daily Express.

Bangkuai, bagaimanapun mengingatkan Chong bahawa Ongkili mencadangkan beberapa minggu lalu supaya isu itu dibincangkan oleh ahli parlimen Sabah melalui jawatankuasa pilihan antara parti.

Dia berkata pada Jun 2020, Ongkili mengetuai delegasi PBS untuk menyerahkan kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memorandum yang mengandungi cadangan untuk menyelesaikan masalah warga asing tanpa izin sentiasa menggesa mengenai perkara itu.

"Antara cadangannya ialah supaya kerajaan menggunakan RCI ke atas warga asing tanpa izin dan penemuan 'Projek IC' sebagai rujukan untuk menangani masalah lama (warga asing tanpa izin)," katanya.

"Pendirian kami mengenai warga asing tanpa izin dan isu 'Projek IC' kekal, dan PBS akan terus mencari penyelesaian kepada masalah itu," kata Bangkuai.

Projek IC merujuk kepada dakwaan terhadap Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan perdana menteri antara 1981 dan 2003, menggunakan program itu untuk mengembangkan Umno ke negeri Borneo.