Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kebenaran i-Citra 3.0 bukan jawapan ringankan beban - MTEM

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) meminta kerajaan mencari solusi lain bagi menggantikan cadanggan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Citra 3.0.

Dalam kenyatan bersama Felo Kanan MTEM, Azlan Awang dan Ahmad Yazid Othman, mereka berkata simpanan KWSP kumpulan bumiputera akan terus kritikal untuk pencen mereka jika ia dilaksanakan.

MTEM katanya menyokong penuh pendirian pihak yang menolak pengeluaran i-Citra 3.0.

"Semua sudah maklum berkenaan fakta melalui statistik terkini. Persoalannya, kumpulan mana yang ingin kita bantu dengan cadangan i-Citra 3.0 ini? Yang ramai dan membentuk majoriti pencarum atau sebaliknya?

"Hakikatnya, berdasarkan statistik terkini daripada KWSP, selepas pengeluaran i-Citra dua kali sebelum ini, kebanyakan pendeposit bumiputera hanya akan mempunyai baki simpanan kurang daripada RM200 sebulan setelah mereka bersara.

"Satu daripada dua bumiputera atau 50 peratus hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 di dalam akaun KWSP mereka ketika ini," kata mereka dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Umno lantang memperjuangkan pengeluaran i-Citra secara one-off sebanyak RM10,000.

Malah, ia menjadi satu ketetapan parti itu kepada Ismail Sabri Yaakob sejurus sebelum Naib Presiden Umno itu dilantik menjadi perdana menteri.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki; dan bekas perdana menteri Najib Razak antara pemimpin parti yang lantang memperjuangkan i-Citra.

Bagaimanapun beberapa pakar ekonomi dan kumpulan NGO menentang.

MTEM berkata, sekiranya i-Citra ketiga dibenarkan, jumlah bumiputera yang mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000 caruman akan meningkat lebih 60 peratus.

Oleh itu kata mereka, MTEM mencadangkan bantuan kerajaan ditambah baik dengan memberi untuk setiap isi rumah bantuan tunai dalam lingkungan RM10,000 dan sebahagian lagi berbentuk pinjaman tanpa riba pada had maksimum RM25,000 dan dibayar balik dalam tempoh enam tahun.

"Kunci utama kejayaan dan impak bantuan ini bergantung kepada kepantasan bantuan diberikan kepada setiap mangsa yang terkesan.

"Hakikatnya bantuan melalui KWSP telah pun digunakan sebanyak dua kali. Oleh itu tiba masa untuk pihak kerajaan memikirkan penyelsaian lain untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.