Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mengapa ada amalan dua darjat, tanya Wanita PKR Johor

Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis Maharan meluahkan rasa tidak puas hati setelah mendakwa dilarang mengedarkan bantuan ke pusat pemindahan banjir di Pagoh hanya kerana memakai pakaian yang memaparkan lambang partinya.

Namun, pada masa yang sama, dakwanya, dia melihat bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin - yang juga ahli parlimen Pagoh - dibenarkan turun ke tempat kejadian dengan memakai pakaian Perikatan Nasional (PN).

Kata Napsiah, dia turun padang menjalankan aktiviti bantuan banjir di Johor atas kapasiti ahli PKR dan juga pengerusi badan kebajikan Bidadari.

“Pada Ahad lalu, kami diberitahu oleh ahli-ahli PKR di pusat pemindahan banjir di Dewan Serbaguna Pagoh bahawa mereka tidak cukup bekalan, dan mangsa banjir harus mengeluarkan duit sendiri pada masa itu kerana mereka terdesak.

“Kami berasa kasihan untuk mereka kerana apabila banjir melanda, anda tak sempat nak selamatkan barang-barang, hatta wang tunai sekalipun.

“Banyak barang keperluan asas yang ada di sana seperti lampin dan tuala wanita tak mencukupi,” kata Napsiah kepada Malaysiakini.

Menurut Napsiah, ketika dia dan pasukannya tiba di pusat pemindahan banjir menaiki Hilux yang penuh dengan barang sumbangan, kedatangan mereka pada mulanya disambut baik.

Tunggu hingga Muhyiddin beredar

Jawatankuasa pengurusan bencana tahu mengenai aktiviti bantuan banjir kami dan seorang pegawai Rela di situ mengalu-alukan kedatangan kami, dan berkata sumbangan bekalan itu sangat diperlukan.

“Bagaimanapun, selepas beberapa ketika, seorang pegawai memberitahu kami tak boleh masuk ke premis itu untuk menyampaikan bantuan kerana memakai baju berlogo PKR.

“Kami kecewa, tetapi kami keluar. Kami dapat tahu (kemudiannya) yang Muhyiddin sedang tiba,” kata Napsiah.

Katanya, secara kebetulan, mereka sama-sama melawat tempat itu pada masa yang sama.

“Yang mengundang kemarahan kami ialah apabila Muhyiddin berjalan-jalan dan menyapa mangsa-mangsa banjir dengan memakai baju dan topi PN!”

Sedangkan, dakwanya, dia dan 10 rakan sukarelawan dan ahli parti tidak dibenarkan berada di situ, meskipun di halaman dewan.

Kata Napsiah dioa kemudian memasuki dewan itu dengan memakai baju Bidadari sebelum menghampiri Muhyiddin untuk bertanya mengapa ada dwistandard dalam layanan yang diberikan.

Bagaimanapun katanya Muhyiddin tidak memberikan sebarang reaksi. Napsiah kemudian diiring untuk menjauhi presiden Bersatu itu.

“Kami tunggu di luar sehingga rombongan Muhyiddin beredar dari dewan kerana kami dijanjikan yang kami boleh turunkan barang-barang selepas dia beredar.

“Kami kemudiannya melihat satu kereta daripada rombongan itu memanggil polis dan memberikan arahan, (selepas itu) polis memberitahu kami sekali lagi bahawa terdapat arahan bahawa tiada NGO atau parti politik dibenarkan menghantar bantuan tanpa kebenaran lisan daripada pegawai daerah.

“Saya beritahu dia: tuan, mangsa-mangsa ini tak ada apa-apa, orang perlukan bantuan segera, ini bencana,” kata Napsiah.

Katanya, untuk seketika, dia dibenarkan menurunkan sebahagian daripada lampin yang dibawa tetapi ditegur lagi kerana memberikan coklat kepada kanak-kanak di pusat itu.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas daripada Pejabat Daerah Muar atas dakwaan berkenaan.

Terdahulu dalam insiden serupa, enam sukarelawan bantuan banjir parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) di Segamat, Johor, disoal polis atas tuduhan melanggar prosedur semasa menyampaikan bantuan di pusat pemindahan sementara milik kerajaan.

Ahli Parlimen Muar dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata mereka disoal kerana menghantar bantuan secara terus kepada individu yang meminta bantuan di pusat bantuan dan sebahagian rumah.

[Baca laporan asal]