Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN | Budak Rohingya 'samseng' minta sedekah dan xenofobia

ULASAN | Tidak takutkah kita apabila Allah tanya kita nanti, apa yang kita telah buat untuk membantu saudara Rohingya seislam kita?

Secara jujur, saya secara peribadi dapat merasakan ada jenaka yang kena lawaknya apabila video TikTok yang memaparkan 'kesamsengan' seorang kanak-kanak peminta sedekah tular di media sosial.

Video yang dikongsikan pengguna TikTok Afnan Asyraf itu memaparkan tindak balas seorang kanak-kanak peminta sedekah, dipercayai etnik Rohingya, yang menunjukkan lagak ‘gangster' kepadanya yang berada dalam kereta di tengah-tengah jalan.

Sungguhpun video itu menyampaikan mesej mudah iaitu telatah budak yang begitu mahu mengugut orang dalam kereta kerana tidak mengendahkannya yang meminta sedikit sumbangan, hal ini menggambarkan sekurang-kurangnya dua krisis yang makin berat di negara kita.

Walaupun orang ramai yang mengambil serius hal ini lebih mahu marah akan budak Rohingya yang dianggap kurang ajar itu, hakikatnya kemarahan melulu kepada kanak-kanak itu semata-mata merupakan suatu tindak balas yang bersifat 'tone deaf'.

Isu yang jauh lebih melarat daripada sifat kurang ajar budak Rohingya pengemis itu ialah isu krisis pelarian Rohingya dan isu eksploitasi kanak-kanak untuk sindiket minta sedekah yang sehingga kini tidak berkesudahan.

Krisis pelarian Rohingya di M'sia

Berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), 103,090 daripada 150,000 pelarian Myanmar di Malaysia yang berdaftar dengan agensi tersebut terdiri daripada kumpulan etnik Rohingya.l

Sungguhpun berdaftar dengan UNHCR, hakikatnya mereka tetap dianggap sebagai 'PATI yang berdaftar dengan UNHCR', bukannya sebagai pelarian yang ada kewajipan untuk kerajaan Malaysia menjaga kebajikan mereka.

Alasan yang kerap kali digunakan kebelakangan ini oleh pihak anti-Rohingya ialah Malaysia tidak turut sama menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 mahupun Protokol 1967.

Ketika pemerintahan Dato’ Sri Najib Razak dahulu, sekurang-kurangnya beliau pernah menyatakan pendirian yang vokal ke atas sifat berdiam diri Aung San Suu Kyi, pemerintah Myanmar ketika itu, terhadap krisis penghapusan etnik Rohingya di Arakan.

Pendirian Najib yang dinyatakan ketika Malaysia berarak menentang kezaliman tentera Myanmar pada 2016 itu memperlihatkan adanya keazaman Malaysia untuk mencuba sedaya-upaya membela nasib pelarian Rohingya di negara ini meskipun bukan ahli Konvensyen Pelarian 1951.

Namun perubahan suhu toleransi rakyat tempatan sejak 2020 lalu terhadap pendatang asing terutamanya terhadap etnik Rohingya, mengubah pendirian kerajaan terhadap komitmen pembelaan kumpulan tertindas tersebut.

Pada Sidang Kemuncak Asean ke-36 pada tahun 2020, perdana menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Malaysia tidak boleh lagi menerima pelarian Rohingya.

Beliau juga menyatakan bahawa 'tidak adil' untuk dunia mengharapkan sesuatu yang berlebihan lagi daripada Malaysia untuk membela nasib pelarian Rohingya.

Hal ini tidaklah pelik kerana kerajaan yang memerintah ketika kedua-dua masa pendirian kerajaan yang jauh berlainan itu tidak lain tidak bukan disifatkan hanya bersifat populis; mereka mahu membuat pendirian yang yakin akan disokong kebanyakan pengundi.

Perubahan pendirian politik kerajaan semasa ini menyukarkan kemandirian (survival) pelarian Rohingya di Malaysia untuk terus bertahan (The Diplomat, 10 Julai 2020).

Ditambah lagi dengan fakta bahawa Malaysia secara sedia ada bukan ahli Konvensyen Pelarian 1951, hal ini mengukuhkan lagi sentimen dan penguatkuasaan yang berasaskan xenofobia yang terus-menerus menindas golongan tersebut untuk hidup bermaruah dengan hak asasi manusia.

Gambar fail, perkampungan dibakar di Arakan.

Sebagai contoh, jika dahulunya pelarian Rohingya di Malaysia boleh bekerja di beberapa sektor tidak formal seperti pekerja gaji bawah minimum di Pasar Borong Selayang, hasil daripada dasar, sentimen dan penguatkuasaan berasaskan xenofobia ini menyebabkan mereka tidak lagi dapat berbuat demikian.

Dalam sesetengah kes, ada keabsahan yang perlu diambil kira dalam penguatkuasaan undang-undang seperti penguatkuasaan ke atas mereka yang menjalankan perniagaan tanpa lesen tetapi menggunakan premis yang berdaftar.

Namun begitu, penguatkuasaan yang terlalu menekan agar mereka hampir tidak boleh bekerja langsung atas alasan mereka tiada lesen ialah sesuatu yang bersifat hipokrit apabila peniaga tempatan yang berniaga secara tidak formal tidak pula diburu dengan kesungguhan yang sama.

Malah penguatkuasaan yang mengehadkan lagi pelarian Rohingya untuk bekerja secara umumnya juga sesuatu yang bersifat hipokrit.

Ketika suatu masa dahulu sentimen terhadap etnik Rohingya tidak senegatif sekarang, boleh pula mereka dieksploitasi dengan mengambil mereka kerja dengan gaji bawah daripada paras minimum.

Namun apabila sudah benci sangat etnik Rohingya ini sebab takut sangat mereka 'jadi warganegara Malaysia', tiba-tiba mereka dihalang bekerja dengan alasan ingin beri keutamaan pada warga tempatan yang hilang pekerjaan.

Mana keutamaan pada warga tempatan itu ketika majikan selesa mengeksploitasi kumpulan marginal pelarian Rohingya itu untuk memaksimumkan keuntungan dengan menafikan kos buruh mereka dengan pendapatan yang tidak berperikemanusiaan?

Akhirnya, kumpulan tertindas ini terus terdesak untuk hidup mencari rezeki dengan bermaruah, lantas mendesak mereka untuk mencari apa jua cara yang membolehkan mereka mencari sedikit rezeki untuk terus hidup di bumi ini.

Sindiket eksploitasi kanak-kanak mengemis 

Kita sudah sedia maklum bahawa isu eksploitasi kanak-kanak untuk mengemis di jalanan bukanlah sesuatu yang baru, justeru sesuatu yang makin melarat dalam komuniti kita.

Namun begitu, isu ini dilihat makin melarat apabila sindiket/tindakan ini akhirnya turut melibatkan kanak-kanak pelarian Rohingya untuk berada di jalanan.

'Pemandangan' kanak-kanak Rohingya sebagai peminta sedekah di sekitar bandar raya Kuala Lumpur juga semakin ketara, menggambarkan adanya petunjuk situasi kemiskinan kumpulan etnik Rohingya di Malaysia yang semakin mendesak sehingga memaksa kumpulan kanak-kanak etnik tersebut juga dieksploitasi untuk sesuap nasi.

Melihat kepada sifat mereka yang semakin berani dan tampak 'samseng' dalam meminta sedekah, hal tersebut tidak lain tidak bukan juga menampakkan mereka semakin terdesak dalam memastikan kemandirian ekonomi mereka terjamin di sebuah negara yang tidak memelihara hak asasi mereka.

Selain itu, secara umumnya, telah ada banyak kajian seluruh dunia yang mengaitkan tahap sosioekonomi yang rendah dengan gejala-gejala gangsterisme dalam kalangan kanak-kanak, termasuk sebuah penyelidikan tempatan yang melibatkan 234 responden kanak-kanak di Kuala Lumpur.

Kajian tersebut antara lain menyatakan bahawa terdapat korelasi yang kuat antara komponen-komponen persekitaran sosial tempat tinggal, pendapatan seisi keluarga dan tahap pendidikan ibu bapa, antara lainnya.

Walaupun kajian ini melibatkan sosiodemografi kanak-kanak kaum India tempatan, logiknya masih boleh diguna pakai jika kita menggambarkan bagaimana situasi kehidupan etnik Rohingya di Kuala Lumpur, contohnya.

Situasi kehidupan mereka yang tidak mempunyai status yang sah pada sisi undang-undang Malaysia itu amatlah tidak terjamin. Secara amnya, penempatan mereka juga sangatlah daif dengan terpaksa berhimpit dalam kediaman yang sempit.

Sepertimana dibincangkan di atas, status mereka yang masih dianggap sebagai PATI (walaupun berdaftar dengan UNHCR), menyukarkan mereka mencari pendapatan.

Sentimen xenofobia dalam dasar dan penguatkuasaan undang-undang semasa juga menyukarkan lagi mereka untuk bekerja walaupun dalam sektor tidak formal.

Tahap pendidikan mereka juga tidak terjamin dengan hanya mengharapkan bantuan guru sukarelawan di pusat-pusat pengajar NGO.

Kesemua ini pasti menambahkan lagi kompleks tingkah laku yang terbentuk hasil daripada taraf sosioekonomi yang terlalu rendah ini.

Tahap sosioekonomi yang terlalu rendah seperti inilah yang sering mendorong mereka melakukan apa-apa sahaja untuk terus hidup walaupun membahayakan diri orang lain dan diri mereka sendiri, termasuklah kanak-kanak.

Maka, apabila kita membincangkan tentang masalah budak Rohingya 'samseng' itu, cuba kita fikirkan kembali dan letakkan diri kita pada tempat mereka.

Video itu mungkin lawak, namun tindak balas orang ramai yang buta akan isu yang lebih serius daripada isu adab ini amatlah memalukan.

Janganlah kita sering menjadikan isu adab sebagai satu jalan keluar untuk menutup kesilapan dan kelemahan kita sendiri.

Malah sebaliknya, apa kata kita fikirkan, pendirian apa yang sepatutnya kita pegang bagi memastikan semua manusia, tidak kira warna kulit dan asal-usul, dapat hidup di bumi Allah tanpa diskriminasi, tambah-tambah lagi kita yang Muslim ini.

Tidak takutkah kita apabila Allah tanya kita nanti, apa yang kita telah buat untuk membantu saudara Rohingya seislam kita?

Beranikah kita menjawab, “Aku maki mereka agar mereka tahu asal-usul mereka!”


WAN SALMAN WAN SALLAH ialah aktivis Pertubuhan Ikram Bandar Tun Razak.