25 ejen, 250 sub-ejen bawa pekerja Bangladesh ke Malaysia - Sumber
Senarai 25 Ejen Pengambilan Bangladesh (BRA) dan 250 sub-ejen dijangka terlibat dalam pengambilan pekerja baru ke Malaysia.
Perkara itu dinyatakan oleh sumber yang arif mengenai rundingan dua hala yang membawa kepada perjanjian baru antara kedua-dua negara.
Malaysiakini melihat dokumen yang mengemukakan cadangan proses dan prosedur pengambilan serta penghantaran pulang pekerja -pekerja berkenaan.
Menurut dokumen itu, proses pengambilan yang bermula daripada permohonan majikan hingga prosedur ketibaan akan dilakukan melalui Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dikendalikan oleh Bestinet Sdn Bhd.
Di bawah tajuk "Peruntukan automatik kuota kepada BRA dan penglibatan BRA", dinyatakan bahawa pekerja yang akan ke Malaysia diambil daripada senarai 25 BRA utama yang disokong oleh 250 sub-BRA, untuk dipilih secara automatik oleh FWCMS.
Ia juga menyatakan bahawa majikan di Malaysia boleh berhubung terus dengan BRA yang dipilih atau melantik ejen di Malaysia untuk memudahkan proses pengambilan.
Pada 19 Dis lepas, Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Imran Ahmed menandatangani perjanjian pengambilan buruh baru selama tahun lagi, sekali gus menarik balik pembekuan yang dikenakan sejak 1 Sept 2018, di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.
Saravanan, bagaimanapun tidak mendedahkan syarat khusus memorandukm persefahaman (MOU) itu, termasuk kos pengambilan dan sekiranya terdapat had yang ditetapkan ke atas bilangan agensi pengambilan Bangladesh yang dibenarkan menghantar pekerja mereka ke Malaysia.
Malaysiakini difahamkan bahawa rundingan mengenai terma akhir telah diteruskan selepas permeteraian, termasuk di Bangladesh di mana terdapat kebimbangan proses pengambilan akan dimonopoli oleh BRA yang didakwa mempunyai hubungan dengan individu yang mempunyai kedudukan yang baik di Malaysia.
Sehari sebelum majlis menandatangani perjanjian itu di Putrajaya, Imran mengesahkan bantahan Dhaka terhadap sindiket yang didakwa diwujudkan oleh senarai agensi terpilih yang dibenarkan menjalankan proses pengambilan.
'Dedahkan terma MOU'
Dia mengulas kebimbangan yang dibangkitkan Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (Baira) yang pada masa itu meminta peluang sama rata untuk kesemua hampir 1,600 ahlinya agar dibenarkan menghantar pekerja ke Malaysia.
Di Malaysia, kumpulan hak asasi migran, Tenaganita adalah antara pihak yang menggesa kerajaan mendedahkan syarat-syarat MOU berkenaan serta menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan kewujudan semula "sindiket" pada masa lalu yang dikaitkan dengan kos pengambilan pekerja yang tinggi dan penyalahgunaan buruh.
Sebelum ini Perjanjian yang digantung oleh kerajaan PH melibatkan 10 BRA dan sekutu mereka.
Ketika dihubungi, Pengarah Tenaganita, Joseph Paul Maliamauv berkata dia dimaklumkan angka itu telah ditambah kepada 25 ejen utama dan 250 sub-ejen.
“Namun kami tidak dapat mengesahkan jumlah ini kerana syarat MOU tidak didedahkan kepada umum,” katanya kepada Malaysiakini.
Sementara itu, pakar hak pekerja asing Andy Hall berkata terdapat isu bagaimana BRA dipilih untuk berada dalam senarai yang diluluskan, dengan mendakwa berlaku salah guna kuasa politik di Bangladesh dan Malaysia dengan mengorbankan pekerja asing dan majikan.
"Jika agensi tenaga kerja dipilih melalui proses tender terbuka yang telus, berdasarkan rekod prestasi mereka yang terbukti untuk melaksanakan pengambilan secara profesional beretika dan bernilai dari segi wang, itu mungkin boleh diterima dan dipuji.
"Tetapi ini tidak berlaku di sini," dakwa Hall.
Tanpa ketelusan, Hall berkata proses pengambilan baru ini berisiko mewujudkan keadaan sebelum ini yang akhirnya menyumbang kepada isu keberhutangan dan eksploitasi buruh.
'Sejak bila MOU didedah pada umum?'
Sementara itu, portal dalam talian, Free Malaysia Today melaporkan Saravanan sebagai berkata bahawa bukan amalan biasa untuk mendedahkan syarat-syarat MOU kerajaan.
“Bila masa MoU pernah diumumkan? Bila masa di negara ini MoU pernah diumumkan? Sesetengah orang begitu berminat (dengan MoU ini). Saya pun tak tahu kenapa, ada udang di sebalik batu ke?
“Saya dalam kerajaan hampir 15 tahun sebagai timbalan menteri, dah jadi menteri…tak pernah kita umumkan butiran mengenai MoU,” katanya selepas satu acara Perkeso di Putrajaya.
Saravanan dalam satu kenyataan hari ini berkata satu pengumuman akan dibuat tidak lama lagi berhubung pengambilan pekerja asing baru dalam semua sektor yang dibenarkan daripada semua negara sumber yang diluluskan.
“Dalam hal ini, saya ingin menasihatkan pihak majikan agar tidak membuat sebarang pembayaran melalui orang tengah atau pihak ketiga bagi tujuan mempercepatkan proses permohonan tersebut.
"Ini adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai