Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pak Sabri terjatuh ketika mendaki Bukit Pejajat

Seorang pendaki warga emas berusia 60 tahun cedera di bahagian kepala dan pinggang setelah terjatuh dari ketinggian enam meter, ketika sedang mendaki Bukit Pejajat dekat Telaga Simpul di Kemaman, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Zailani Abdullah berkata lelaki dikenali sebagai Duta Madu Kelulut Walk, Sabri Ali itu dikatakan mendaki secara solo sejak awal pagi dan tiba di puncak dengan selamat, namun ketika berpatah balik tali yang digunakan terputus menyebabkannya terjatuh.

“Kemalangan itu disedari beberapa pendaki lain yang ada berdekatan dan mereka membuat panggilan telefon untuk misi menyelamat mangsa… pihak kami menerima panggilan pada 9.09 pagi dan seramai 17 anggota dikejarkan ke lokasi untuk operasi menyelamat,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Katanya disebabkan laluan darat agak berisiko kerana lereng bukit yang berbatu dan curam, pihaknya terpaksa menggunakan bot bersama polis, untuk membawa mangsa keluar dari lokasi tersebut yang terletak berhampiran pantai.

“Operasi menyelamat selesai dalam masa sejam dan mangsa telah diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kemaman menggunakan ambulans, untuk mendapatkan pemeriksaan lebih terperinci,” katanya.

Warga emas yang lebih dikenali sebagai Pak Sabri itu agak terkenal di Terengganu dan pernah diiktiraf dalam Buku Rekod Malaysia sebagai Pejalan Kaki Solo Terjauh, selepas berjaya menamatkan jarak perjalanan sejauh 2,109.17 kilometer melalui 49 lokasi merentasi 14 negeri pada 2016.

- Bernama