Warisan adalah harapan buat pengundi kecewa, kata Junz Wong
Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Junz Wong menggesa pengundi untuk memberikan peluang kepada parti tersebut dan sekutunya, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), untuk memerintah melalui pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menurut laporan Free Malaysia Today, Wong berkata Malaysia memerlukan harapan dan hala tuju baru, terutamanya buat mereka yang tidak mahu mengundi BN, Perikatan Nasional (PN) atau pun Pakatan Harapan (PH).
Ahli parlimen Tanjung Aru itu berkata, pengundi mahu melihat perubahan, namun kini tidak lagi melihat PH sebagai satu pilihan seperti yang dapat dilihat daripada kekalahan besar gabungan terbabit dalam pilihan raya negeri (PRN) di Melaka dan Sarawak.
“Di Melaka, peratusan keluar mengundi masyarakat Cina dan India berkurangan hampir 30 peratus tetapi MCA dan MIC berjaya memenangi kerusi.
“Di Sarawak, kita boleh lihat masyarakat Cina pun menolak DAP. Ini menunjukkan rakyat kecewa dengan PH,” kata Wong.
PH baru-baru ini memenang lima kerusi dalam PRN Melaka, merosot berbanding 15 kerusi yang dimenanginya pada PRU ke-14 lalu.
Di Sarawak pula, PH kalah teruk apabila hanya mampu mempertahankan dua daripada 10 kerusi yang dimenanginya dalam PRN 2016.
“Warisan percaya rakyat Malaysia mahukan pemimpin baru dan kami rasa negara perlu beralih daripada (pengerusi PH) Anwar Ibrahim dan (bekas perdana menteri) Dr Mahathir Mohamad,” katanya.
Tak mahu calon 'payung terjun'
Meskipun begitu, kata Wong, Warisan terbuka untuk bekerja bersama PH dalam PRU akan datang bagi mengelakkan perpecahan undi pembangkang.
“Tetapi kita mesti bertemu pada titik persamaan berkenaan soal kepimpinan. Jika PH bertegas dengan pilihan kepimpinan mereka dan tidak boleh berkompromi, maka saya rasa ia agak sukar,” kata Wong lagi.
Mengulas pelebaran gerakan Warisan - yang asalnya berpangkalan di Sabah - ke Semenanjung Malaysia, Wong melihatnya sebagai perkembangan positif untuk politik negara.
Warisan kini membuka 85 cawangan di semenanjung dan akan memberi tumpuan kepada kerusi pengundi campuran pada PRU akan datang.
Kata Wong, parti-parti dari Sabah dan Sarawak sebenarnya mampu untuk menjadi suara politik Malaysia, lebih-lebih apabila melibatkan isu hubungan antara kaum.
“Malaysia Timur terkenal dengan keharmonian berbilang kaum dan budaya. Apabila anda melihat parti nasional yang ditubuhkan di sini, kebanyakan - jika tidak semua pun - adalah berasaskan kaum.
“Malah parti berbilang bangsa juga didominasi oleh mereka yang terdiri daripada satu kumpulan kaum walaupun mereka mempunyai beberapa ahli pelbagai latar belakang,” katanya seperti dipetik FMT.
Pun begitu, kata Wong, Warisan tidak bercadang mempertaruhkan calon dari Sabah untuk bertanding di semenanjung, atau meletakkan calon 'payung terjun' dari negeri lain.
“Kami percaya setiap negeri mempunyai bakat yang mencukupi untuk memimpin. Saya tidak percaya ada mana-mana negeri menghadapi masalah kekurangan calon pemimpin," katanya.
Wong terpilih sebagai ahli parlimen DAP untuk Likas pada 2013, tetapi kemudian melompat parti dan bertanding di bawah Warisan dalam PRU yang diadakan pada 2018.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai