Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bersatu tak terkesan ahli sertai PBM - Ketua Penerangan

Bersatu tidak terjejas dengan tindakan beberapa anggotanya menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dengan sesetengahnya dilantik menjadi pemimpin atasan pertubuhan tersebut.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata sebaliknya Bersatu akan terus dengan agenda yang ditetapkan.

"Bersatu akan terus bergerak dengan agenda integriti, tadbir urus yang baik, antirasuah dan antisalah guna kuasa demi memberikan manfaat kepada rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau agama," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 8 Jan lalu PBM mengumumkan barisan kepemimpinan barunya dengan beberapa wakil rakyat bekas ahli PKR dan memenangi kerusi masing-masing menggunakan tiket Pakatan Harapan (PH) - dan melompat menjadi bebas atau menyertai Bersatu - terpilih.

Sesetengah mereka pula tidak memiliki sebarang kerusi namun pernah menjadi pemimpin PKR.

Sebelum ini salah seorang pemimpin atasan Bersatu, Muhammad Faiz Na'aman, menggesa mereka dipecat daripada jawatan mana-mana agensi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan kerana PBM bukanlah sebahagian daripada kerajaan yang ada sekarang.

Wan Saiful berkata ketika ada segelintir mereka menyertai PBM, Bersatu pula semakin berkembang dengan bilangan keahlian yang meningkat setiap bulan.

"Perlembagaan Bersatu jelas mengatakan sekiranya mana-mana ahli Bersatu menyertai parti lain, maka keahlian mereka secara automatik tergugur.

"Peraturan ini konsisten dan terpakai kepada semua," katanya.