Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKR Sabah umum perubahan kepimpinan walau diboikot 16 ketua cabang

PKR Sabah mengumumkan penstrukturan semula barisan kepimpinannya selepas mengadakan mesyuarat majlis pimpinan negeri (MPN) hari ini sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Perkara itu diumumkan walaupun mesyuarat berkenaan tidak dihadiri 16 ketua cabangnya semalam sebagai tanda protes terhadap kepimpinan Christina Liew.

"Kami berharap agar pihak-pihak yang tidak berpuas hati berkenaan dengan pengurusan dalaman parti dan perubahan kepimpinan ini agar menggunakan saluran yang betul dalam menyuarakan protes mereka dan elakkan menggunakan media secara terbuka.

"Mesyuarat MPN juga memutuskan agar pimpinan Parti berjiwa besar dengan membuka ruang perbincangan dalam mencari solusi demi kepentingan parti," kata Setiausaha PKR Sabah, Mustapha Sakmud dalam satu kenyataan hari ini.

Mustapha berkata mereka yang memboikot mesyuarat berkenaan juga tidak menghormati Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang telah berunding dengan semua ketua cabang pada mesyuarat 8 September tahun lalu.

Tambahnya, Anwar juga telah memberi nasihat agar pengerusi MPN Sabah dikekalkan sehingga pemilihan parti yang akan datang.

"Namun tindakan sebahagian memboikot mesyuarat MPN bermakna mereka tidak mahu berunding.

"MPN telah meluluskan perubahan pimpinan ini dengan persetujuan majoriti ahli-ahli MPN yang hadir mesyuarat dengan kuasa jawatan yang diberikan mengikut perlembagaan parti.

"Presiden Parti juga sudah dimaklumkan berkenaan perubahan ini terutama melibatkan pimpinan utama berdasarkan Fasal 27.5," katanya.

Semalam, Pengerusi Sekretariat Ketua-ketua Cabang PKR Sabah, Simsudin Sidek berkata, seramai 16 Ketua Cabang tidak menghadiri mesyuarat MPN Sabah yang diadakan secara hybrid (fizikal dan atas talian).

Katanya, ia sebagai tanda protes daripada ketua cabang yang telah menolak kepimpinan Christina Liew termasuk daripada Ketua Pemuda PKR, Ketua Wanita, Ketua Srikandi dan Ketua Skuad Sabah.

Simsudin berkata, dia juga dimaklumkan korum kehadiran mesyuarat pada hari itu tidak mencukupi namun diteruskan dengan memasukkan beberapa individu dan dilantik secara terus.

Katanya, desakan agar Christina digugrukan telah berpanjangan sejak empat tahun lalu, malah Sekretariat Ketua-Ketua Cabang itu juga telah ditubuhkan bagi menolak kepimpinannya sejak lebih setahun lalu.

Justeru Simsudin menggesa Anwar segera menyelesaikan kemelut tersebut.

"Tindakan ini tidak memberi kelebihan kepada parti melainkan hanya menyaksikan perpecahan lebih teruk PKR Sabah," katanya.

Bagaimanapun, Mustapha hari ini berkata berdasarkan perlembagaan parti, mesyuarat tersebut adalah sah dan mencukupi korum walaupun tanpa kehadiran Ketua-ketua cabang berkenaan. 

Katanya, penstrukturan semula MPN ini telah dibincangkan lebih awal oleh Biro Politik MPN negeri dan di sahkan sebulat suara pada mesyuarat yang dihadiri oleh ketua-ketua cabang, ahli-ahli MPN yang dilantik serta ahli-ahli MPN sedia ada.

Berikut adalah perubahan kepimpinan PKR Sabah yang baru:

Timbalan Pengerusi MPN : Ag. Husaini Datuk Hj. Ag. Sahari

Naib Pengerusi MPN 1 : Peto Galim

Naib Pengerusi MPN 2 : John O.T Gani

Naib Pengerusi MPN 3 : Abdul Razak Jamil

Setiausaha MPN : Mustapha Sakmud

Setiausaha Pengelola MPN : Remysta Taylor

Timbalan Ketua Penerangan : Thonny Chee

Ketua Biro Disiplin MPN : Dikin Musa

Ahli-ahli MPN yang baru : 

1. Alijus Sipil

2. Ramlan Naim

3. Akbar Nusah

4. F.Fauziah Abdul Lahap