Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persatuan: Kos pembantu rumah warga asing tak mungkin RM1,136

Jumlah bayaran yang dikenakan terhadap majikan di Malaysia untuk mengambil pembantu rumah warga Indonesia setakat ini masih belum jelas, kata Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) Foo Yong Hui.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud menyatakan majikan hanya perlu membayar sebanyak RM1,136 untuk mengambil pembantu rumah warga asing dari mana-mana negara.

Bagaimanapun, Foo memberitahu Malaysiakini terdapat kos-kos lain yang tidak diambil kira termasuk tiket penerbangan dan dokumen perjalanan.

“Saya secara peribadi merasakan tak mungkin majikan hanya perlu membayar RM1,136 untuk mendapatkan seorang pembantu rumah.

“Contohnya, jika kamu mendapatkan seorang pembantu rumah Indonesia, kamu (majikan) perlu tanggung kos-kos (lain) seperti buat pasport dan beli tiket penerbangan mereka.

“Jadi saya tidak tahu bagaimana dia (Khairul) boleh dapat angka ini (RM1,136),” katanya.

Pada Jumaat lalu, Khairul berkata jumlah bayaran itu terdiri daripada bayaran levi, visa mengikut negara, fi proses, bayaran pas, wang jaminan dan beberapa bayaran lain.

Dia menafikan laporan akhbar berbahasa Inggeris, The Star yang memetik pemilik agensi di Pulau Pinang yang berkata kos semasa untuk sesebuah agensi mendapatkan seorang pembantu rumah bagi bakal majikan adalah antara RM20,000 dan RM25,000, dengan kos tambah untuk kuarantin dan langkah-langkah pencegahan Covid-19.

“Mungkin dia maksudkan untuk mereka yang memohon menerusi Sistem Maid Online (SMO)," kata Foo, merujuk sistem Jabatan Imigresen untuk majikan mencari pembantu rumah secara langsung dari 10 negara yang dibenarkan, termasuk Indonesia dan Filipina.

Ketika dihubungi, duta Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata pemerintah Indonesia membantah mekanisme SMO kerana melangkaui agensi pengambilan pekerja Indonesia, yang merupakan satu keperluan di bawah undang-undang negara itu bagi melindungi warganya yang bekerja sebagai pembantu rumah di luar negara.

“Indonesia telah meminta agar proses pengambilan (baru) dijalankan menerusi One Channel System (Sistem Satu Saluran) yang diluluskan kedua-dua kerajaan dan tiada saluran lain digunakan, termasuk SMO,” katanya.

Ketika dihubungi semalam, Khairul menafikan bahawa kos yang lebih rendah itu hanya terpakai untuk pengambilan menerusi SMO.

“Tidak. Ini merupakan bayaran kemasukan berdasarkan prosedur kemasukan pembantu rumah,” katanya kepada Malaysiakini.

Khairul bagaimanapun enggan mengulas lanjut termasuk ketika diminta penjelasan sama ada kos yang dikatakan mencecah sehingga lima angka itu turut termasuk bayaran kepada agensi.

‘Angka RM25,000 terlalu tinggi’

Sementara itu, Foo menyifatkan jumlah bayaran sehingga RM25,000 yang dikatakan dikenakan oleh sesebuah agensi, sebagai ‘terlalu tinggi’.

Katanya, calon pembantu rumah warga asing masih dibawa masuk ke negara ini, meskipun penutupan sempadan dikuatkuasakan sejak bermulanya pandemik Covid-19 pada Mac 2020.

“Apa yang kami tahu, ada orang yang berjaya bawa masuk pembantu rumah semasa sempadan ditutup.

“Mereka berjaya bawa masuk, dan pasarkan mereka (pembantu rumah) pada harga yang tinggi. Kami sangat-sangat membantah harga yang terlalu tinggi sebegitu,” katanya.

Jumaat lalu, Malaysiakini melaporkan MyTravelPass - yang diumumkan hanya untuk kegunaan warga Malaysia dan pekerja sedia ada yang kembali pulang bekerja - disalah guna ke atas pekerja baru.

Sebelum tercetusnya pandemik Covid-19, Foo berkata kos purata untuk mengambil seorang pembantu rumah Filipina ditetapkan sekitar RM12,000, manakala kos untuk pembantu rumah Indonesia pula sehingga RM18,000.

“Kami harap bayaran bagi Indonesia akan dikurangkan setara dengan negara-negara lain, contohnya Filipina.

“Walaupun gaji untuk Filipina adalah tinggi, tetapi bayaran pengambilan pekerja mereka adalah murah,” katanya.

Indonesia dan Filipina menjadi negara teratas membekalkan pembantu rumah warga asing kepada Malaysia. 

Foo dalam pada itu turut menggesa kerajaan untuk membenarkan kemasukan pekerja baru dari Filipina, sementara menunggu hasil rundingan dengan Indonesia.

Di sebalik gesaan untuk kos yang lebih berpatutan, Foo berkata persatuannya telah berhubung dengan rakan-rakan di Bangladesh, yang didakwanya sanggup mengambil calon pekerja asing dengan kos di bawah RM10,000.