Masalah penglihatan, lumpuh tak halang 2 pemuda gapai kejayaan
Cacat penglihatan bukan penghalang bagi Khairullah Affarouk Paiman untuk terus menempa kejayaan di peringkat tertinggi bagi merealisasikan cita-citanya menjadi pensyarah dalam bidang bahasa.
Anak kelahiran Felda Pemanis, Segamat, Johor itu berjaya menggenggam ijazah Sarjana Bahasa Melayu dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan sedang menyambung pelajarannya di peringkat doktor falsafah (PhD).
Dia antara 945 graduan UPM yang menerima skrol pada sesi pertama Majlis Konvokesyen ke-44 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Serdang hari ini.
Khairullah Affarouk, 37, ketika ditemukan Bernama berkata, kecacatan dialaminya sejak berusia 13 tahun bukan alasan untuk berputus asa sebaliknya menjadi pembakar semangat bagi terus melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.
“Saraf mata saya rosak akibat terkena bola dan doktor memaklumkan ia tidak boleh dibaiki lagi.
"Mulai saat itu, saya menyertai sekolah pendidikan khas untuk mendalami ilmu menggunakan tulisan Braille.
“Memang agak sukar dan saya mengambil masa enam bulan untuk belajar tulisan Braille… Alhamdulillah, berkat usaha kini saya sudah berjaya menggenggam ijazah sarjana muda, sarjana dan hanya selangkah lagi untuk mendapatkan PhD,” katanya.
Terlantar empat bulan
Berkongsi cara pembelajarannya, Khairullah berkata teknologi serba canggih seperti mesin pencetak Braille di UPM memudahkan urusannya mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan.
“Bahan-bahan juga diperoleh dari internet dan saya memang banyak habiskan masa di perpustakaan kerana banyak kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU) belajar di situ,” katanya.
Senada dengan Khairullah Affarouk ialah bekas atlet sepak takraw negara Muhammad Kamal Ishak, 29, yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan kereta pada 2019.
Dia kini berjaya bergelar graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani UPM.
Muhammad Kamal berkata isterinya Nik Nurzilawatie Nik Wil, 29, dan anak perempuan mereka, Nur Assyifa Media, 2, menjadi motivasi utamanya untuk terus menyambung pendidikan meskipun lumpuh.
“Akibat kemalangan, memang saya terbaring dan tidak boleh bergerak… ahli keluarga yang membantu dan menguruskan diri saya sepanjang saya terlantar selama hampir empat bulan.
“Alhamdulillah selepas menjalani fisioterapi, saya boleh gerakkan tangan dan boleh duduk di atas kerusi roda dan belajar. Syukur kini saya bergelar siswazah UPM,” katanya.
Menceritakan cara pembelajarannya, Muhammad Kamal berkata ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) proses itu diadakan secara dalam talian dan memberi kelebihan buatnya kerana tidak perlu bergerak ke universiti.
“Semua pembelajaran secara dalam talian termasuk latihan industri di sekolah sukan negeri.
"Kalau perlu pergi ke sekolah mungkin dalam sekali seminggu,” katanya.
Anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berhasrat untuk menyumbang bakti dalam sukan sepak takraw negara dari segi kejurulatihan atau menyediakan analisis sukan itu.
“Memang saya rindukan sukan sepak takraw. Kalau boleh saya ingin teruskan sumbangan untuk sukan ini.
"Sepak takraw memang sebati dengan diri saya kerana ia sejak kecil lagi saya terlibat,” katanya yang bermain posisi apit kanan ketika mewakili negara.
Antara kejayaan dikecapi Muhammad Kamal adalah membantu Malaysia meraih pingat perak acara regu berpasukan di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai