Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MTIB perkasa agenda bumiputera dalam sektor perkayuan

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) akan terus memacu perkembangan industri perkayuan negara pada masa akan datang terutamanya dalam memperkasa agenda Bumiputera.

MTIB berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan seperti universiti, dewan perniagaan, penyelidik dan agensi berkaitan untuk kajian dan cadangan dalam usaha tersebut.

“MTIB telah melaksanakan pelbagai program dan aktiviti ke arah pemerkasaan agenda Bumiputera antaranya Program Peningkatan Kapasiti Pengeluaran di Kilang Kerja Kayu SME Bumiputera di bawah projek Rancangan Malaysia dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM39.7 juta.

“Usahawan Bumiputera yang layak telah diberi pinjaman mesin berteknologi tinggi untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran agar dapat bersaing dengan lebih kompetitif dalam pasaran.

“Program yang telah dijalankan sejak 2015 telah memberi manfaat kepada seramai 121 usahawan Bumiputera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MTIB berkata pihaknya turut menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera untuk meningkatkan jualan dalam pasaran domestik dengan penganjuran Wood & Lifestyle Fair bermula pada 2016.

“Hasilnya, daripada RM5.3 juta kos yang dibelanjakan, usahawan Bumiputera telah berjaya menjana jualan sebanyak RM45.5 juta.

“Program Credible Entrepreneur, Marketing and Promotion (CEMP) merupakan program yang direka khas bagi membolehkan usahawan Bumiputera menghasilkan produk untuk pasaran eksport.

“Bagi melahirkan usahawan baharu Bumiputera, MTIB juga telah melaksanakan Program VenTureS dan Smart-Partnership bertujuan untuk meningkatkan penglibatan belia Bumiputera dalam industri perkayuan, khususnya industri perabot,” katanya.

Selain itu, katanya Pelan Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara 2021-2030 yang dilancarkan pada 18 Dis 2021 telah dirangka untuk mencapai matlamat unggul ke arah memartabatkan industri ukiran kayu negara.

Ia dihasilkan dengan kerjasama pelbagai pihak iaitu agensi kerajaan, usahawan industri perkayuan dan Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia (Pengukir).

- Bernama