Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Harga ayam, telur dijangka naik: Menteri perjelas langkah kawalan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Alexander Nanta Linggi hari ini menjelaskan beberapa langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengimbangi kenaikan harga ayam dan telur di pasaran.

Penjelasan itu selepas kecaman orang ramai berhubung beberapa laporan yang menyatakan harga dua barangan tersebut dijangka meningkat selepas Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) tamat pada 4 Februari ini.

“Melalui sesi itu (sesi libat urus), setiap pihak termasuk Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak (FLFAM) telah membentangkan faktor-faktor kenaikan kos operasi penternakan ayam termasuk peningkatan kos makanan ayam di peringkat global dan kekurangan tenaga kerja akibat sekatan kemasukan pekerja asing bagi sektor ini.

“Kementerian juga telah dimaklumkan, pelaksanaan SHMKM ini telah membebankan penternak, yang terpaksa menyerap kos operasi yang lebih tinggi.

“Sekiranya skim ini diteruskan, pihak kementerian dimaklumkan ini akan menjejaskan hasil pengeluaran ayam dan telur. Keadaan ini seterusnya akan mengganggu bekalan ayam dan telur di pasaran,” katanya pada satu hantaran di media sosial hari ini.

Gambar fail, Alexander Nanta Linggi..

Jelasnya, lagi kementerian telah mengambil langkah-langkah, antara menetapkan harga siling ayam sehingga 4 Februari pada harga RM6.10 sekilogram di peringkat ladang, RM7.80 per kilogram di peringkat borong dan RM9.10 per kilogram di peringkat peruncit.

“Mengimport ayam bulat sejuk beku sehingga 10,000 tan metrik atau 5.5 juta ekor sebulan. Tindakan ini sedang diusahakan oleh MAFI.

“Dengan penambahan bekalan di pasaran, situasi ini dapat menampung sebarang kekurangan bekalan ayam dan mewujudkan persaingan sihat yang seterusnya dapat mengawal dan mengimbangi harga ayam di pasaran,” katanya.

Nantha juga berkata kerajaan turut kemudahan pinjaman mudah atau 'soft loan' kepada industri penternakan ayam negara bagi mengatasi masalah lonjakan harga ayam di pasaran.

Mengulas lanjut mengenai skim SHMKM, Alexander berkata sekiranya bekalan ayam dan telur di pasaran terganggu, ia akan memberi kesan yang lebih buruk kepada pengguna.

“Dengan kurangnya bekalan, harga jualan juga akan meningkat.

“Inilah realitinya yang akan terjadi sekiranya tiada intervensi daripada kerajaan. Tanpa intervensi kerajaan, harga ayam dan telur akan melonjak naik lebih tinggi,” katanya.