Rakyat Kelantan bimbang peniaga abai SOP, tak pakai pelitup muka
Terdapat segelintir peniaga di negeri ini sudah tidak mengendahkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka dengan sempurna ketika berniaga dan bersemuka dengan pelanggan.
Tinjauan Bernama di beberapa jajahan di Kelantan termasuk Kota Bharu, Tanah Merah, Pasir Mas, Machang dan Kuala Krai mendapati pemakaian pelitup muka dianggap remeh oleh sesetengah peniaga, malah ada yang sekadar meletakkannya di bawah hidung, dagu dan ada yang langsung tidak memakainya.
Pekerja sebuah syarikat di Kota Bharu, Zulfadhli Rosley, 31, berkata sikap sedemikian seharusnya tidak wujud dalam kalangan peniaga kerana penularan wabak Covid-19 masih membimbangkan dan boleh berjangkit sekiranya tiada pematuhan SOP.
"Mereka (peniaga) sepatutnya patuh SOP, bukan pelanggan sahaja yang kena patuh, ini tidak, apabila saya masuk ke kedai mereka, saya yang pakai pelitup muka tapi peniaga tersebut tidak pakai (pelitup muka).
"Sehinggakan saya sendiri terpaksa tegur, minta peniaga tersebut pakai pelitup muka, saya rasa sungguh kecewa dan geram kerana peniaga ini tiada sifat bertanggungjawab untuk menjaga kesihatan pelanggan mereka," katanya ketika ditemui Bernama, di Kota Bharu, hari ini.
Sementara itu, suri rumah Norkatini Md Yusuff, 50, berkata ketika kerajaan membenarkan para peniaga membuka semula operasi, beliau amat berpuas hati terhadap pematuhan SOP mereka.
"Namun, lama-kelamaan ia sangat menyedihkan kerana didapati beberapa kedai dan gerai yang sering saya kunjungi sebelum ini telah mula mengabaikan SOP pemakaian pelitup muka dan sekadar meletakkan pelitup muka di bawah hidung dan dagu sahaja.
"Bagi saya, peniaga ini perlu mempunyai kesedaran, jangan pentingkan diri sendiri serta keuntungan perniagaan semata-mata sehingga boleh mengancam kesihatan pelanggan mereka," katanya yang berasal dari Kampung Jelatok, Tanah Merah.
Selain itu, seorang usahawan dalam talian di Batu Balai, Kuala Krai, Nurain Najua Saari, 29, berkata tanggungjawab memastikan pematuhan SOP dalam kalangan peniaga tidak seharusnya diletakkan pada pihak berkuasa semata-mata kerana mereka tidak mampu untuk melakukan operasi di semua premis perniagaan.
“Oleh itu, sebagai rakyat, saya seru supaya kita sendiri perlu menjadi mata dan telinga kepada penguat kuasa ini dan segera laporkan sekiranya terdapat peniaga yang ingkar dan masih berdegil untuk mematuhi SOP," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai