Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Saifuddin lantik dua lagi penasihat khas

Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah hari ini mengumumkan secara rasmi lantikan dua lagi penasihat khas bagi menguruskan hal ehwal Asia Timur dan hal ehwal kebajikan antarabangsa.

Pengerusi Gerakan Pahang yang juga ahli perniagaan, Ranndy Yap Kim Heng dilantik sebagai Penasihat Khas Kepada Menteri Mengenai Asia Timur, manakala Pengurus Besar Yayasan Felda, Mohd Banuri Aris pula sebagai Perunding Hal Ehwal Kebajikan Antarabangsa Kepada Menteri Luar Negeri.

Kedua-dua lantikan itu berkuat kuasa masing-masing pada Oktober dan November lalu.

Saifuddin yang juga ahli Parlimen Indera Mahkota bagaimanapun menegaskan pelantikan dua individu berkenaan tidak membabitkan kos tambahan kepada kementerian.

"Mereka sudah mula melakukan kerja dan ia (lantikan) adalah lantikan tidak bergaji dan tidak berelaun.

"Semuanya adalah untuk memberikan khidmat terbaik kepada negara dan saya perlukan nasihat daripada mereka bagi membantu memudahkan urusan (kerja) saya," katanya ketika sidang media mengenai bantuan bencana banjir di pejabat khidmat Parlimen Indera Mahkota, di Kuantan, hari ini.

Mohd Banuri Aris

Saifuddin memaklumkan, kakitangan yang mempunyai kepakaran di kementerian sudah mencukupi, cuma keputusan melantik dua individu itu dibuat memandangkan pengalaman dimiliki mereka.

"Macam Ranndy (Yap), dia ada perniagaan di China dan sudah tentu dia lebih memahami suasana dan situasi di sana, jadi saya boleh dapatkan pandangan Ranndy jika ada isu berkaitan negara Asia Timur.

"Begitu juga dengan (Mohd) Banuri yang selalu terbabit dalam misi bantuan dan kemanusiaan, ketika banjir baru-baru ini, Yayasan Felda juga banyak membantu dalam bentuk menghantar kotak makanan kepada penduduk yang terbabit (dengan banjir)," katanya.

Ranndy Yap Kim Heng

Pada November lalu, Saifuddin melantik bekas ketua pengarah Perbadanan Filem Nasional (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nazri sebagai setiausaha kebudayaan dan pelakon Eizlan Yusof sebagai perunding lreatif di Kementerian Luar Negeri.

Saifuddin ketika itu menjelaskan lantikan mereka adalah bersifat 'khidmat negara' dan tanpa sebarang bayaran elaun atau gaji secara tetap.