Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setiap negeri ada kuota penebangan balak

Setiap negeri mempunyai catuan tebangan tahunan (CTT) bagi pengusaha hasilan balak setiap tahun dan ia ditentukan melalui keputusan Majlis Tanah Negara (MTN), kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan.

"Setiap negeri mempunyai kuota (balak) setiap tahun yang ditentukan melalui keputusan MTN dipengerusikan perdana menteri dan ahli-ahlinya (iaitu) semua menteri besar serta ketua menteri," katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa menentukan kuota penebangan balak.

Sebaliknya kata Mohd Amar, kegiatan tersebut dilakukan mengikut perkara yang termaktub di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Takiyuddin berkata dia akan menghubungi Mohd Amar bagi mendapatkan pencerahan berhubung kenyataannya itu.

Katanya dia juga telah menjawab mengenai perkara itu beberapa kali di Parlimen dan mengetahui setiap negeri mempunyai CTT yang ditetapkan berdasarkan Kriteria dan Petunjuk Malaysia untuk Pensijilan Pengurusan Hutan (MC&I) sejak 2012 kerana pernah berada dalam exco Kelantan sebelum ini.

"Oleh itu setiap negeri tidak boleh menebang atau mengeluarkan kayu balak melebihi kuota yang ditetapkan," katanya.

Takiyuddin menegaskan kerajaan Malaysia komited di peringkat antarabangsa untuk mengekalkan 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan berhutan menjelang 2040.

"Sekarang ini (keluasan tanah) diliputi kawasan berhutan sekitar 55.3 peratus, oleh sebab itu perlu mengawal tebangan hutan ini kerana jika hutan ditebang ia mengambil masa untuk penghutanan semula yang memerlukan tempoh yang panjang," katanya.

- Bernama