Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas pengerusi: Lembaga penasihat SPRM tiada kuasa siasat SPRM

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat kelakuan suruhanjaya itu mahupun para pegawainya, kata bekas pengerusi lembaga itu Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Justeru, dia menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) mengenai dakwaan pemilikan berjuta-juta saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

"Semasa saya menjadi pengerusi, saya sedar hakikat bahawa saya diletakkan dalam kapasiti menasihat semata-mata. Perkara dilakukan atas dasar hal yang perlu diketahui saja, jadi isu di luar skop kami benar-benar di luar jangkauan kami," katanya dipetik seperti yang dikatakan oleh TMI.

Lembaga penasihat itu ditubuhkan untuk menasihati suruhanjaya itu mengenai sebarang aspek masalah rasuah di Malaysia dan dasar serta strategi suruhanjaya itu dalam usaha membanteras rasuah, seperti yang termaktub di bawah Akta SPRM 2009.

Lembaga itu juga diamanahkan, antara lain untuk meneliti dan mengesahkan cadangan daripada suruhanjaya supaya ia menjadi cekap dan berkesan.

"Itulah sebabnya selain daripada apa yang berlaku sekarang, atau apa yang saya panggil 'Azam Affair', perdana menteri mesti menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja terhadap kedudukan SPRM, tahap rasuah dan keberkesanan seperti yang ditubuhkan dan dianjurkan sekarang," kata Tunku Aziz.

"Dalam erti kata lain, terdapat keperluan untuk semakan menyeluruh terhadap struktur semasa agensi itu," katanya.

Keputusan lembaga pengarah untuk menjalankan siasatan sendiri walaupun tidak diberi kuasa untuk berbuat demikian menunjukkan bahawa ia amat memerlukan jawatankuasa pengawasan, katanya.

"Mana-mana syarikat tanpa lembaga pengarah atau mana-mana organisasi tanpa jawatankuasa pengawasan eksekutif (akan berlaku). Sebab itu anda mempunyai sikap sebegini. Mereka boleh buat sesuka hati kerana tiada sesiapa yang memantau mereka," katanya.

"Tiada organisasi di mana-mana di dunia yang pernah diketahui untuk mengawasi organisasi mereka sendiri. Tetapi kerana kekurangan pengawasan, anda mendapat situasi ini.

"Jika kita serius memerangi rasuah, kita perlu menubuhkan lembaga eksekutif yang mana SPRM bertanggungjawab. Lembaga mesti ditubuhkan yang mempunyai kuasa untuk mengarahkan dasar dan aspek operasi agensi itu. Jika tidak, kita macam bermain-main dalam memerangi rasuah," katanya.

Lembaga eksekutif itu, kata Tunku Aziz perlu melibatkan warganegara yang mempunyai kelayakan cemerlang, termasuk orang yang tidak mempunyai kepentingan untuk melindungi kedudukan mereka sendiri, sebaliknya melihat semua isu rasuah yang berpotensi.

"Semuanya adalah gurauan. Anda panggil mereka ini pesuruhjaya, tetapi mereka hanya pegawai kerajaan. Pesuruhjaya sepatutnya menjadi lembaga pesuruhjaya, yang sepatutnya menjadi badan pentadbir, tetapi ia tidak pernah wujud," katanya lagi.

Azam menghadapi tekanan untuk menjelaskan dakwaan pemilikan berjuta-juta saham dalam dua syarikat tersenarai awam pada 2015 dan 2016.

Pada 5 Jan, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM Abu Zahar Ujang mengadakan sidang media khas untuk menjelaskan isu itu.

Abu Zahar berkata saham itu dibeli atas nama Azam oleh adiknya dan mengisytiharkan dia tidak melakukan sebarang kesalahan. 

Tambahnya, Azam telah memindahkan saham tersebut kepada abangnya.

Bagaimanapun, pembangkang menuduh Abu Zahar bertindak di luar bidang kuasanya.