Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dugaan umrah tergendala: Sebak, terkejut semua ada

Ini bukan kali pertama Nur Syahirah Mohamad menunaikan umrah. Dia sudah pernah ke Tanah Suci beberapa tahun lalu. Tetapi kali ini, umrah yang sepatutnya dia tunaikan begitu besar maknanya.

Hal itu kerana dia sepatutnya pergi bertemankan ayahnya yang belum pernah sekali pun menjejakkan kaki ke Mekah atau Madinah.

Menurut Nur Syahirah, 33, ayahnya sudah merancang menunaikan umrah sejak 2019 namun ditimpa kemalangan apabila terjatuh pokok yang menyebabkan dia mengalmi kecederaan tulang belakang.

Ia menyebabkan rancangan umrah mereka terpaksa ditunda ke tahun berikutnya.

Namun, malang sekali lagi menimpa apabila Covid-19 melanda dan sempadan negara ditutup, memaksa rancangan ditunda sekali lagi.

Menjelang tahun baru 2022 pula, menghitung tibanya hari berlepas yang sepatutnya pada 19 Jan ini, tiba-tiba kerajaan mengumumkan penangguhan kebenaran ibadat umrah berkuat kuasa 8 Jan.

“Mula-mula dapat tahu tu terkejut, terus sebak. Kami berbisik-bisik sesama sendiri tapi semua okey. Kami terima, tapi sebak tu tetap ada,” katanya yang mengaku tidak mampu berbual dengan ayahnya tentang penangguhan itu kerana pasti akan dilanda sebak.

“[...] Kami pun reda tapi tetap juga sangat-sangat berharap penangguhan ini ditarik balik secepat mungkin memandangkan Ramadan sudah dekat dan selepas itu akan tiba musim haji, umrah (akan) ditutup sementara.

“Macam saya secara peribadi nak bawa ayah… ayah memang dah bertahun-tahun nak pergi sana. Buat rayuan untuk haji belum pernah ada rezeki, jadi usaha dengan umrah,” kongsi peniaga dalam talian itu kepada Malaysiakini.

Lebih memilukan hati Nur Syahirah, selepas mendapat suntikan dos penggalak tidak lama dahulu, ayahnya tidak henti-henti bertanyakan tarikh mereka berlepas.

Antara persiapan yang dibuat Nur Syahiran dan bapanya.

Selepas tarikh berangkat disahkan pula, ayahnya setiap hari akan menonton video-video umrah di YouTube dan mengulang-ulang bacaan talbiah setiap hari.

Katanya, trip umrah kali ini sepatutnya membabitkan 10 ahli keluarga terdekat - tujuh sudah mendaftar sejak dua tahun lepas dengan bayaran penuh, dan tiga lagi baru mendaftar Dis tahun lalu.

Yang membimbangkan Nur Syahirah, penangguhan terbaru akan melibatkan lagi penambahan kos, sedangkan pendaftaran baru untuk perjalanan yang sudah tertangguh dua tahun lepas itu saja sudah menelan kos tambahan hampir 40 peratus daripada belanja asal.

Bapa Nur Syahirah

Katanya, sekarang dia sedang berusaha menghubungi agensi pelancongan jika ada kekosongan sebelum tarikh penangguhan buat mereka, lebih-lebih lagi persiapan semuanya sudah siap, hanya menunggu hari keberangkatan sahaja.

“Setakat ini, boleh dikatakan setiap jam saya periksa laman web jabatan atau persatuan berkaitan dengan harapan ada berita yang memihak kepada jemaah.

"Persiapan memang tunggu hari berangkat saja, sebab kami rancang dalam masa seminggu sebelum bertolak akan buat kuarantin kendiri sehinggalah tiba hari bertolak. Kelengkapan pun hampir separuh sudah diisi di dalam beg,” kongsinya yang tinggal di Kuala Terengganu.

Berdoa larangan batal segera

Jika Nur Syahirah ralat memikirkan nasib ayahnya, ahli perniagaan, Nor Sakila, 29, pula dilanda sayu mengenangkan hasrat untuk menjejakkan kaki buat pertama kaki ke Tanah Suci tergendala gara-gara penangguhan berkenaan.

Lebih-lebih lagi, katanya, dia sudah berniat untuk turut membawa sekali ayah serta ibu dan ayah mentuanya dengan menggunakan duit sendiri. Mereka sepatutnya berlepas pada awal bulan depan.

“Mereka sangat teruja. Saya sendiri sangat teruja memandangkan ini pertama kali saya akan ke sana.

“Dapat berita (penangguhan) ini pada pagi itu membuatkan air mata menitik, rasa seolah-olah tak wajar tindakan ini dilakukan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Nor Syahirah, rata-rata agensi pelancongan yang menguruskan umrah juga mengeluh kerana tarikh tempahan tidak dapat ditukar, manakala kos tempahan hotel tidak dapat ditebus semula memandangkan keputusan penangguhan adalah dibuat Putrajaya, bukannya Riyadh.

Katanya, buat masa sekarang, dia - yang tinggal di Alor Setar, Kedah - hanya mampu berdoa agar penangguhan itu akan ditarik balik segera dan dia masih diberikan peluang untuk ke Tanah Suci bersama suami, ayah, ibu dan bapa mentua, dua adik ipar dan seorang kawannya.

“Saya dah lama sangat teringin (menunaikan umrah), cuma tak berkesempatan. Iyalah, wanita, (ada kekangan kerana) bersalin, mengandung, dan sebagainya.

“Tetapi kali ini, Allah bagi rezeki lebih untuk saya bawa keluarga untuk ke sana,” luahnya dengan sarat harapan.

Rasa sebak baca doa

Pada 1 Jan, kerajaan mengumumkan penangguhan sementara perjalanan ibadah umrah berkuat kuasa 8 Jan sehingga tarikh yang belum ditetapkan kerana kebimbangan penularan varian Omicron Covid-19.

Untuk rekod, kerajaan membenarkan semula perjalanan umrah pada tahun lalu dengan kumpulan pertama berlepas ke pada 13 Okt.

Perunding hartanah, Norfatin Nabilah Ibrahim, menjadi antara jemaah yang bernasib baik kerana sempat menunaikan ibadah itu bersama suaminya sebelum penangguhan berkuat kuasa.

Norfatin berasa bertuah kerana sempat ke Tanah Suci sebelum larangang dikenakan.

Lebih manis, katanya, itulah kali pertama dia menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Alhamdulillah, syukur sempat menjadi tetamu Allah sebelum umrah ditangguhkan 8 Jan ini. Allah sebaik-baik perancang.

"Mungkin jika tak pergi bulan Dis itu, tak tahu bila lagi ada kesempatan hendak pergi ke sana,” katanya.

Sampai sahaja ke bumi Madinah, kata Norfatin, 36, dia terus terasa sebak apabila mutawif membacakan doa memasuki tanah haram.

"Tak sangka boleh menjejakkan kaki di tanah yang mulia ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mendapat tahu mengenai penangguhan umrah menerusi kumpulan WhatsApp, katanya, dia lega kerana sempat ke sana namun turut menumpang rasa sedih dengan bakal jemaah yang bakal tergendala.

Mukram bersama kumpulan jemaah yang dibawanya bergambar berhampiran Masjid Nabawi.

Mutawif sepenuh masa sejak tujuh tahun lalu, Muhammad Mukram Mohd Kamil, 32, turut berkongsi rasa teruja jemaah umrah yang dibawanya 15 Dis lalu - ketika itu dia pembantu mutawif.

Lebih-lebih lagi, katanya, hampir semua jemaah di bawahnya baru pertama kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Semua saya rakamkan dalam video (reaksi jemaah). Mereka sangat-sangat gembira, bertuah dan beruntung sebab kerana umrah pada waktu tersebut, masih belum ramai orang,” katanya ketika dihubungi semalam,

“(Mereka adalah) Kumpulan yang sangat beruntung. Susah nak dapat peluang macam itu, maksud saya dari segi (dapat) tawaf dekat dengan Kaabah, tak ramai orang (berbanding musim kemuncak),” katanya sambil memanjat syukur apabila dia sendiri berpeluang ke situ semula setelah lama tidak ke sana.

Lebih separuh positif

Menurut Mukram, sepanjang berada di sana, kerajaan Arab Saudi sangat mementingkan prosedur operasi standard (SOP), dari tiba di lapangan terbang di Jedah, sehinggalah di masjid apabila ada saja pegawai penguat kuasa meronda bagi memastikan pelitup muka dipakai dengan betul.

Jemaah juga sentiasa dipantau menerusi apikasi Tawakkalna - yang mirip MySejahtera - di Arab Saudi.

Justeru, dia melihat penangguhan umrah oleh Malaysia sebagai sesuatu yang mengecewakan dan mengejutkan, lebih-lebih lagi Arab Saudi sendiri telah mengetatkan SOP apabila berlaku ledakan kes Covid-19 baru-baru ini.

Namun, bagi Norfatin, penguatkuasaan SOP, terutamanya penjarakan fizikal boleh ditambah baik dan diperketat, terutama dalam penerbangan apabila jemaah duduk rapat antara satu sama lain untuk masa yang lama.

“Kumpulan bas saya lebih separuh positif Covid-19,” kongsinya.

Muhammad Hazamin.

Hal itu dipersetujui mutawif separuh masa sejak enam tahun lalu, Muhammad Hazamin Harun, 41, yang pulang membawa jemaah pada 25 Dis lalu.

Penyanyi nasyid dari kumpulan Inteam itu menceritakan panjang lebar berkenaan hal itu dalam satu hantaran Facebook selepas pengumuman penangguhan umrah diumumkan kerajaan.

Ceritanya, ada jemaah yang menunjukkan keputusan ujian negatif sebelum berangkat pulang, namun positif setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA). Dalam kalangan 46 orang jemaah yang dibawanya sahaja, 15 daripada mereka positif.

Sebelum ini agak longgar

Bilangan itu, katanya, meningkat apabila ujian ketiga dilakukan pada hari kelima kuarantin apabila ada lagi jemaah baru yang dikesan positif.

“Jumlah keseluruhannya bagi saya memang ramai,” tulisnya.

Hazamin mengaku meskipun jemaah bersungguh-sungguh mematuhi SOP, namun bilangan jemaah yang mulai ramai dari seluruh dunia menyulitkan keadaan, terutama di Mekah, apabila kesesakan dan suasana berhimpit-himpit sentiasa berlaku.

Katanya jemaah antarabangsa yang mengalami batuk dan selsema yang teruk juga masih dibenarkan memasuki Masjidil Haram.

Justeru Hazamin bersetuju dengan keputusan kerajaan menangguhkan umrah buat masa sekarang. Namun, dia juga melihat penangguhan itu tidak wajar dibuat untuk masa yang lama, sebaliknya boleh ditamatkan dalam masa terdekat.

Hal itu kerana, katanya, baik Malaysia mahupun Arab Saudi, kedua-duanya sudah mengetatkan semula SOP yang sebelum ini longgar seperti kembali mengamalkan penjarakan fizikal semasa solat, serta menamatkan kebenaran kuarantin di rumah untuk jemaah yang tiba di Malaysia.

Dia melihat itu sebagai petanda positif untuk penangguhan ditamatkan dalam masa terdekat.

“Saya rasa itu (SOP lebih ketat) satu benda yang baik, sebab kita nak elakkan penularan itu, sebab masa saya pergi itu, memang agak longgar sikit.

“Sekarang dah ketatkan balik, jadi saya rasa baiklah untuk kita nak benarkan semula jemaah kita untuk pergi ke sana,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.