Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PM: Sidang khas parlimen bahas isu banjir 20 Jan

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan satu sidang khas parlimen bagi membahaskan isu banjir akan berlangsung pada 20 Januari depan.

"Mendalami kesusahan rakyat yang terkesan ekoran bencana banjir, satu Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 bagi Dewan Rakyat akan diadakan.

"Mesyuarat Khas ini diadakan selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Sidang parlimen itu, jelas perdana menteri akan membincangkan perkara berkaitan kepentingan negara iaitu banjir dan pasca banjir, penyelarasan bantuan kepada Keluarga Malaysia dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir.

"Pelaksanaan Mesyuarat Khas ini telah disembah maklum dan mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Mesyuarat Khas ini penting untuk memberi ruang kepada kerajaan menjelaskan kepada rakyat mengenai tindakan dan perancangan kerajaan menangani isu-isu banjir.

"Sesi ini juga adalah platform terbaik untuk ahli-ahli parlimen mendapat maklum balas tentang isu banjir," katanya lagi.

Pada 20 Dis, sebelum penangguhan Dewan Rakyat, beberapa ahli parlimen di kedua-dua belah pihak telah membangkitkan isu mengenai banjir dan usaha menyelamat serta bantuan yang sedang dijalankan.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun enggan menerima usul berkenaan dan dilaporkan berkata terdapat perkara lain yang dijadualkan untuk dibahaskan.

Azhar juga menegaskan bahawa mengikut peraturan tetap, seorang menteri perlu mengambil inisiatif untuk memberi penjelasan mengenai perkara itu dan memberi notis kepada speaker.

Sebelum ini, pemimpin pembangkang menggesa agar kerajaan mengadakan sidang khas parlimen bagi membincangkan isu banjir yang dihadapi rakyat sekarang.

Ahli parlimen pembangkang pada 29 Dis lalu juga mendakwa kerajaan tidak berkesan menguruskan bencana serta bersikap acuh tidak acuh.

Mereka menggesa satu suruhanjaya khas ditubuhkan bagi menjalankan bedah siasat ke atas pengurusan banjir di Lembah Klang dan Pahang.

Dalam satu kenyataan bersama 77 ahli parlimen Pakatan Harapan (PH), Warisan dan Muda, mereka mahukan hasil bedah siasat dibahas dan diluluskan di parlimen.

Banjir yang melanda Selangor, Pahang, Kelantan dan beberapa negeri lain bermula 17 Disember lalu telah menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal.

Pada kemuncak bah besar 21 Disember lalu, lebih 71,000 mangsa banjir dipindahkan di enam negeri Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Seramai 50 korban akibat banjir di seluruh negara manakala lima masih hilang setakat ini.

Sesetengah penganalisis menganggarkan kerugian di seluruh negara akibat peristiwa bah besar 2021 ini menelan kos berbilion ringgit dengan jumlah sebenar masih dalam taksiran.