Bicara kes 1MDB dilapangkan, saksi pendakwaan tak dapat datang
Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak yang membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini dilapangkan selepas Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dimaklumkan bahawa saksi pendakwaan tidak dapat hadir untuk memberi keterangan.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pendakwaan telah cuba menghubungi beberapa saksi supaya hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan namun mereka sama ada sedang bekerja atau mempunyai hal lain yang perlu diselesaikan.
“Kami tidak dapat mengemukakan saksi lain kerana tempoh yang begitu singkat. Kebanyakan mereka sedang bekerja. Saya mohon maaf Yang Arif. Justeru, saya memohon agar perbicaraan hari ini dilapangkan. Tarikh perbicaraan seterusnya ialah pada 26 dan 27 Jan.
"Kami sudah menyediakan empat saksi pada tarikh terbabit iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir, bekas Pengarah 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail (bekas pegawai khas Najib).
“Jika berlaku keadaan seperti hari ini (saksi tidak dapat memberi keterangan kerana tidak sihat), kami akan mempunyai saksi lain,” katanya.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengucapkan terima kasih kepada timbalan pendakwa raya itu atas usahanya.
“Jumpa anda semua pada 26 Jan,” katanya.
Pada prosiding sebelah pagi, beliau telah mengarahkan pendakwaan agar memanggil saksi lain selepas Azmi, 49, (saksi ke-12 pendakwaan) yang sepatutnya meneruskan keterangan hari ini, tidak sihat.
Hakim itu meminta pendakwaan agar mendapatkan sekurang-kurangnya seorang daripada lebih 50 saksi yang berada dalam senarai pendakwaan untuk menghadiri prosiding mahkamah pada sebelah petang.
Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai