Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Lagi usul tergempar bahas isu bos SPRM dikemuka di parlimen

Amanah mahu isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibahas di Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub mengemukakan usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menggesa agar Parlimen membuka ruang bagi membahas isu berkenaan.

Usul tergempar bawah peraturan 18(1) Dewan Rakyat itu dikemukakan ahli parlimen Pulai itu supaya ia dapat diterima dan dibahas pada 1 Mac 2022 iaitu sesi parlimen bagi membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Pagi ini bagi pihak rakyat Malaysia saya mengambil tanggungjawab membawa isu pemilikan saham yang sangat mencurigakan oleh penjawat tertinggi SPRM.

“Saya harap usul yang penting ini dapat diterima dan dibahas di dewan persidangan bukan dalam kamar khas kerana isu ini sangat menyentuh persoalan intergriti seorang penjawat awam.

“Isu ini menimbulkan persoalan kepercayaan dalam alangan rakyat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Azam berkata dia yakin yang tidak melakukan sebarang kesalahan justeru tidak perlu memberikan reaksi terhadap tuduhan yang dikaitkan dengannya.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya, Azam berkata dia hanya bertanggungjawab memberi penjelasan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM.

Langkah tersebut, katanya, sudah dilakukan sebelum ini.

"Saya tak tampil untuk memberi penjelasan kepada pihak awam kerana saya tidak membuat sebarang kesalahan," katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin dalam suratnya kepada Azhar berkata, perkara itu perlu disegerakan bagi menggesa Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah melakukan siasatan dengan lebih lanjut terhadap dakwaan itu.

"Ini adalah perkara berkenaan dengan kepentingan orang ramai untuk mengembalikan keyakinan orang awam terhadap badan SPRM bagi mengekang aktiviti rasuah dan/atau segala aktiviti yang menjerumus kepada pecah amanah yang mana kerajaan bertanggungan untuk menjawab perkara ini.

"Saya percaya bahawa isu ini adalah berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan selari dengan peruntukan peraturan mesyuarat," katanya lagi.

Sebelum ini, R Sivarasa yang juga naib presiden PKR mengemukakan usul supaya parlimen membincangkan dakwaan bahawa Azam memiliki saham di dua buah syarikat disenarai di bursa melebihi daripada jumlah yang dibenarkan.