Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Enam saksi tak dapat hadir, bicara 1MDB tangguh ke petang ini

Enam saksi pendakwaan tidak dapat hadir ke mahkamah pagi ini untuk perbicaraan rasuah 1MDB bekas perdana menteri Najib Razak bernilai RM2.28 bilion.

Pelbagai alasan diberikan daripada cuti perubatan kerana demam, berada di luar negara di London, mengalami cirit-birit, masih dalam kuarantin selepas pulang ke Malaysia selepas mengerjakan Umrah, mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 hari ini, dan perlu menghadiri dua mesyuarat syarikat.

Ekoran itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan ke 2.30 petang ini bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan sekurang-kurangnya seorang daripada lebih 50 saksi yang perlu hadir untuk memberi keterangan.

Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram memaklumkan bahawa saksi pendakwaan ke-12, bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir, tidak dapat hadir hari ini kerana demam dan mendapat cuti sakit.

“Kami (pendakwaan) sepatutnya memanggil Azmi Tahir untuk meneruskan (memberi keterangan hari ini). Malangnya, saya telah dimaklumkan pagi ini bahawa saksi kami telah pergi ke klinik dan mendapat MC (sijil cuti sakit) mengatakan dia tidak boleh meneruskan (prosiding) hari ini,” kata timbalan pendakwaraya itu sambil menambah mata saksi kelihatan sangat merah dan suhu badannya panas.

Semalam, Azmi memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Hariharan Tara Singh.

Panggil saksi lain

Apabila hakim Sequerah meminta pihak pendakwaan memanggil saksi lain untuk hadir di kandang saksi pagi ini, Akram memaklumkan mereka telah berhubung dengan lima saksi lain tetapi mendapati mereka juga tidak dapat hadir atas pelbagai alasan.

Lima saksi terbabit ialah Johan Idris, rakan kongsi pengurusan KPMG yang pernah mengaudit 1MDB sebelum ini; bekas pegawai khas Najib Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail; bekas ahli lembaga pengarah 1MDB Ismee Ismail; bekas pegawai syarikat 1MDB Lim Poh Seng serta bekas pengarah setiausaha dan pematuhan TRX City Sdn Bhd Goh Gaik Kim.

“Saya memanggil lima saksi. Tetapi Johan Idris berada di London dan hanya boleh hadir pada 29 Jan; Ahmad Shihab tidak dapat ditemui kerana mengalami cirit-birit sejak tiga hari lalu; Ismee tiada kerana dia baru pulang selepas mengerjakan umrah (dari Arab Saudi) dan dia kini dikuarantin; Lim Poh Seng menjalani suntikan dos penggalaknya hari ini; dan Goh Gaik Kim juga tidak ada kerana dia perlu menghadiri dua mesyuarat syarikat (hari ini), saya menyuruhnya membatalkannya tetapi dia berkata ia penting,” kata Akram.

Sequerah kemudiannya memaklumkan kepada timbalan pendakwa raya itu untuk cuba mendapatkan sekurang-kurangnya seorang daripada lebih 50 saksi pendakwaan supaya hadir prosiding petang ini.

Hakim perbicaraan itu kemudian mengosongkan prosiding pagi ini dan mengarahkan ia bersambung semula pada 2.30 petang ini. Najib dilihat di kandang tertuduh.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah (gambar, atas) mengetuai pasukan pembelaan tertuduh.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Selain menjawat perdana menteri ketika itu, tertuduh juga ialah menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB pada masa kejadian tersebut.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa Low atas arahan Najib, telah bertindak dengan beberapa kakitangan 1MDB lain untuk menyelewengkab berbilion ringgit dana daripada dana syarikat pelaburan negara itu dan melalui laluan litar kewangan yang rumit, untuk memindahkan sebahagian daripada dana itu kepada akaun perdana menteri berkenaan.

Bagaimanapun, pasukan pembelaan berhujah Najib tidak tahu menahu mengenai salah laku dalam 1MDB dan keseluruhan urusan itu didalangi sepenuhnya oleh Low serta beberapa individu daripada syarikat pelaburan negara itu.

[Baca berita asal]