Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tindakan lanjut perlu untuk bersihkan nama Azam Baki

Kontroversi dakwaan pemilikan saham ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki tidak wajar diketepikan dengan hanya satu pertemuan dengan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) sahaja, dan memerlukan tindakan susulan.

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) dan peguam Haniff Khatri Abdulla, mengalu-alukan LPPR menjawab tuduhan itu secara terbuka namun mereka menggesa tindakan lanjut untuk menyiasat dakwaan ke atas Azam itu.

Dalam satu kenyataan semalam, Ideas berkata kenyataan pengerusi LPPR Abu Zahar Ujang tidak sepenuhnya menangani kebimbangan awam mengenai integriti SPRM.

“Kegagalan memberikan satu penjelasan menyeluruh tentang bagaimana keputusan tersebut dicapai dengan penuh ketelusan akan menghakis kepercayaan awam terhadap SPRM sebagai sebuah institusi penting dalam membasmi rasuah dalam negara ini.

“Kami berpandangan penjelasan sebegitu amat kritikal dalam mengekalkan kredibiliti SPRM sebagai sebuah institusi bebas yang boleh membasmi rasuah dengan berkesan di Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Tricia Yeoh.

Azam baru-baru ini menjadi tumpuan ekoran timbulnya dakwaan pemilikan saham olehnya di dua syarikat pada 2015.

Berdasarkan laporan tahunan Excel Force Bhd 2015, Azam memiliki 2,156,000 waran dalam syarikat itu setakat 21 Mac 2016. Ketika itu, Azam adalah pengarah bahagian siasatan SPRM.

Dalam sidang media semalam, Azam berkata dia memberitahu LPPR bahawa akaun perdagangan miliknya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh saham dalam dua syarikat pada 2015.

Saham itu telah dipindahkan kepada adiknya, Nasir Baki.

Abu Zahar, yang turut hadir dalam sidang media semalam, berkata LPPR berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa dia tidak mempunyai manfaat kewangan mahupun konflik kepentingan dalam pemerolehan saham tersebut.

Dedahkan proses

Ideas menggesa LPPR mendedahkan proses yang diguna pakai dalam membersihkan nama Azam daripada mana-mana salah laku, dan sama ada Azam memenuhi kriteria pengisytiharan harta berdasarkan pekeliling kerajaan yang memerlukan penjawat awam mengisytiharkan harta mereka.

Kata Ideas, sekiranya keputusan membebaskan Azam dibuat hanya berdasarkan penjelasan Azam dalam satu mesyuarat sahaja tanpa penyiasatan menyeluruh, maka LPPR tidak menjalankan tugas dengan betul dan ia tidak patut berlaku dalam sebuah organisasi yang ditugaskan sebagai badan utama untuk mengawasi SPRM.

“Sebagai sebuah institusi penting yang mendukung integriti dalam negara ini, amat penting agar SPRM menunjukkan piawaian tertinggi.

“Justeru, badan kawal selia yang mempunyai tugas memberikan kebertanggungjawaban terhadap SPRM harus menganggap diri mereka sebagai benteng kepada ketelusan.

“Sedikit kelewatan dalam mengambil tindakan terhadap apa-apa aduan boleh mengubah pendapat umum,” tambah Yeoh.

AG patut siasat

Dalam satu kenyataan Facebook malam tadi, Haniff berkata pendapat LPPR tidak memuktamadkan isu dakwaaan berkenaan, memandangkan ia tidak mempunyai kesan dari sudut perundangan berkaitan konsep siasatan jenayah.

“Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob wajar dalam mematuhi prinsip perundangan dan kedaulatan undang-undang meminta Peguam Negara Idrus Harun untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Siasatan Khas yang dianggotai tiga individu, yang dicadangkan masing-masing oleh Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan Lembaga Penasihat SPRM,” katanya.

Jawatankuasa itu katanya wajar diberikan tempoh selama enam minggu untuk menyiasat dan memajukan kertas siasatan terus kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut, tertakluk kepada hasil siasatan, tambah Haniff.

Katanya, terdapat pelbagai persoalan berbangkit yang perlu disiasat, antaranya apakah alasan sebenar pegangan saham berkenaan yang dikatakan dimiliki adik Azam, kekal di bawah nama Azam antara 2015 hingga 2016.

Dia turut mempersoalkan apakah terdapat apa-apa siasatan jenayah ketika itu terhadap mana-mana pihak dalam syarikat berkenaan yang mendorong kepada pegangan saham itu, dan apakah adik Azam mempunyai sumber dana sah untuk memiliki pegangan saham sejumlah itu.

Selain itu, dia mempersoalkan apakah pegangan saham oleh seorang individu atas nama orang lain, boleh menjadi kesalahan jenayah di bawah mana-mana peruntukan perundangan pemilikan saham awam di bawah seliaan Suruhanjaya Sekuriti, mahupun Bursa Saham Kuala Lumpur.

Tegas Haniff, persoalan yang dibangkitkannya bukanlah untuk menzahirkan anggapan salah tentang keadaan negatif perihal dakwaan ke atas Azam, tetapi persoalan itu perlu disiasat dengan terperinci menurut konsep kedaulatan undang-undang.

“Jjika tidak bersalah, semestinya Azam juga mempunyai hak untuk namanya dibersihkan menurut proses yang telus, tepat dan betul, yang menuruti dan mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.